Premis seleweng diesel bersubsidi disita

Melaka: Sebuah premis disyaki menyeleweng diesel bersubsidi sejak kira-kira enam bulan lalu disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, hari ini, membabitkan rampasan dianggarkan bernilai RM186,000.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, serbuan pada 2 petang semalam itu, diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap premis dipercayai dijadikan stor haram bagi penyimpanan diesel di Kawasan Perindustrian Krubong, di sini.

Menurutnya, dalam serbuan itu lima pekerja premis terdiri daripada tiga lelaki tempatan dan dua warga asing berusia 20-an hingga 40-an ditahan ketika leka memindahkan diesel ke dalam tangki utama simpanan di stor berkenaan.

Katanya, terdahulu semua suspek bertempiaran cuba meloloskan diri melalui pintu khas di belakang kabin yang dijadikan tempat tinggal, namun gagal berikutan premis itu dikepung polis.

“Siasatan mendapati modus operandi digunakan adalah membuat isian antara RM300 hingga RM500 di stesen minyak sekitar Melaka dengan menggunakan lori satu atau tiga tan yang dipasang tangki khas berkapasiti 1,000 liter serta ditutup menggunakan kanvas.

“Tangki itu kemudian akan diisi diesel bersubsidi sebelum dijual di pasaran gelap pada harga lebih RM4 seliter berbanding harga industri RM5.15 seliter dan mengaut keuntungan mudah lebih RM2 seliter.

“Pekerja terbabit mendakwa premis baru beroperasi kira-kira tiga bulan, namun hasil pemantauan dan risikan sejak dua minggu lalu, premis itu disyaki aktif sejak enam bulan lalu malah turut mempunyai rumah pekerja yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk pendingin hawa,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan hari ini.

Norena berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 12,000 liter diesel bernilai RM25,800, sebuah lori tangki berkapasiti 10,000 liter, dua tangki simpanan minyak kapasiti 20,000 liter setiap satu, paip penyambung dan 20 tangki tambahan berkapasti 20,000 liter.

Katanya, diesel yang disita itu ditemui dalam tangki tambahan lori yang digunakan serta tangki minyak (skid tank) dan semua barangan disita dibawa ke stor KPDNHEP Melaka.

“Kita syaki premis itu bukan saja stor simpanan, malah tempat jualan yang mana prosesnya cukup mudah, lori sampai terus sambung pada hos untuk sedut minyak dari tangki diesel.

“Justeru KPDNHEP Melaka memberi amaran tegas kepada pihak industri agar tidak membeli diesel secara haram kerana kami tahu siapa mereka,” katanya sambil menambah beberapa stesen minyak di negeri ini kini di bawah ‘radar’ pihaknya kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan minyak.

Norena berkata, pekerja stesen minyak juga diminta peka untuk memeriksa jika melihat lori sama berulang kali membuat isian di premis mereka kerana modus operandi sindiket ini menggunakan lori ditutup dengan kanvas bagi melindungi tangki tambahan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

METRO

Leave a Reply