108 pengedar, penagih ditahan hasil Ops Tapis tiga hari

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan 108 pengedar serta penagih dadah menerusi serbuan Ops Tapis dalam tempoh tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu lalu.

Hasil penahanan suspek berusia 18 hingga 45 tahun itu, pihak polis turut merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM279,115.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata hasil serbuan di beberapa daerah itu, terdapat satu kes menarik perhatian.

Katanya, ia membabitkan serbuan jam 5.10 petang di hadapan sebuah rumah ibadat di Kampung Jubakar, Tumpat pada Khamis lalu.

“Hasil serbuan berkenaan, polis menahan seorang penganggur lelaki berusia 53 tahun dan merampas 650 gram heroin yang diletakkan dalam bakul motosikal.

“Rampasan dadah itu membabitkan nilai RM250,000 dan ujian air kencing yang dilakukan terhadap suspek juga positif morfin.

“Bekalan dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 6,500 penagih sekiranya ia terlepas,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, keseluruhan bekalan dadah yang dirampas hasil Ops Tapis dipercayai diperoleh dari negara jiran.

“Kita akan tingkatkan siasatan bagi mengesan siapa yang menjadi perantara untuk kemasukan dadah berkenaan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker