KKM keluar 42 kompaun sepanjang PRN Johor

Tangkak: Sebanyak 42 kompaun membabitkan perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata daripada jumlah itu, 13 kompaun sudah dijelaskan oleh pesalah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM13,000.

“Secara keseluruhan kita mengeluarkan 44 kompaun, namun dua dibatalkan, manakala yang sudah dibayar 13 serta baki 29 belum dibayar.

“Kalau ada mana-mana kesilapan kita akan batalkan (kompaun) ,” katanya kepada pemberita selepas melawat Klinik Kesihatan Bukit Gambir, di sini hari ini.

Pada masa sama, Khairy berkata, KKM turut mengeluarkan sebanyak lima kompaun kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas kesalahan SOP, namun hanya satu sahaja kompaun yang sudah diserahkan kepada Ahli Parlimen Pekan terbabit pada Selasa lalu.

Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan sendiri empat lagi kompaun kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu nanti.

Khairy berkata, pihaknya turut memaklumkan kepada pegawai penguat kuasa KKM supaya menggunakan budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun dengan memastikan penjarakan adalah munasabah.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya memahami adalah sukar untuk mengekalkan penjarakan satu meter sepanjang tempoh berkempen.

Namun Khairy berkata, pihaknya meminta calon dari semua parti bertanding untuk kekal mematuhi SOP khususnya penjagaan jarak ketika berceramah dan program menemui pengundi.

“Kita faham susah sebab itu saya maklum kepada pegawai saya supaya menggunakan budi bicara dengan memastikan penjarakan yang munasabah.

“Pematuhan itu sehingga kini boleh tahan dan saya harap ia akan kekal hingga hari mengundi…ini kerana yang penting kita mahu pengundi keluar mengundi dan rasa selamat ketika menjalankan tanggungjawab itu,” katanya.

Harian Metro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker