Banjir: Tiada pertambahan jumlah mangsa di beberapa negeri petang ini

88162cb3a200bab8193e7d81455b76885fc4e7c6d4e17

KUALA LUMPUR, 1 Dis — Banjir di beberapa negeri masih berada dalam keadaan terkawal dengan jumlah mangsa tidak mencatat sebarang pertambahan, petang ini.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, Pasir Mas kekal 22 orang daripada lima keluarga setakat 5 petang.

Pengawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz berkata kesemua mangsa tidak dibenarkan pulang memandangkan penempatan mereka masih digenangi air berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Imran Ismail memaklumkan setakat 5 petang, paras Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat bacaan 8.9 meter (m) iaitu melepasi paras amaran 8 m dan menunjukkan trend penurunan berbanding paras bacaan pagi tadi.



Di TERENGGANU, fenomena air ‘termenung’ menyebabkan lapan orang daripada tiga keluarga masih kekal berada di PPS di negeri itu setakat 4 petang.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Left Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata kesemua mereka kekal di Sekolah Menengah Kebangsaan Merchang, Marang.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 16 orang daripada tiga keluarga setakat 4 petang, kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Left Kol (PA) Effendy Ali.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri itu berkata kesemua mangsa dari Kampung Tasek, Kampung Tersusun dan Kampung Parit Penghulu itu ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Gantong di Jasin.



Di PERAK, seramai 37 mangsa daripada 14 keluarga masih ditempatkan di dua PPS setakat 4 petang.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata di daerah Kerian, seramai 27 penduduk dari Kampung Matang Tengah di Bagan Serai berada di PPS SK Changkat Lobak.

“Sementara di daerah Perak Tengah, 10 mangsa yang berada di PPS dari Kampung Parit 13 dan Kampung Parit 14 masih berlindung di PPS SK Titi Gantung, Bota di Seri Iskandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di SARAWAK, PPS di Stadium Muhibah yang menempatkan mangsa banjir di Bintulu sejak Sabtu lepas, ditutup 12 tengah hari tadi, apabila 30 mangsa daripada lapan keluarga dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.

Pemangku Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bintulu Leftenan Ra’idah Jomi berkata mangsa banjir tersebut adalah dari kawasan penempatan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sebiew, Bintulu.

Bagaimanapun, sebuah lagi PPS di Dewan Suarah Bintulu yang menempatkan 209 mangsa daripada 68 keluarga dari RPR Sebiew, Kampung Kemunting dan Ulu Segan, Bintulu masih beroperasi.

Sebelum ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu membuka dua PPS apabila beberapa penempatan di Bintulu terjejas akibat banjir kilat.

MP Bintulu minta maaf ‘bagi pastikan sidang Dewan Rakyat lancar’

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker