Gangsa pengubat kecewa Aaron, Wooi Yik

BIRMINGHAM: Beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menebus kecewa gagal ke final Sukan Komanwel 2022 di sini, dengan memenangi pingat gangsa.

Pada aksi penentuan pingat berkenaan di National Exhibition Center (NEC), malam tadi, mereka menewaskan rakan senegara, Chan Peng Soon-Tan Kian Meng, 21-19, 11-21, 21-11.

Pemenang gangsa Sukan Olimpik 2020 di Tokyo ini, terdahulu dikejutkan wakil England, Ben Lane-Sean Vendy, 18-21, 21-17, 21-4 pada peringkat separuh akhir.

Aaron-Wooi Yik yang juga beregu keenam dunia sebelum ini adalah antara yang menjadi sandaran kontinjen negara untuk meraih satu daripada enam emas yang menjadi sasaran pada Sukan Komanwel 2022.

Kelmarin, kontinjen negara berjaya mencapai sasaran itu menerusi kejayaan atlet gimrama, Ng Joe Ee yang memenangi emas berganda bagi disiplin bola dan riben.

Gandingan Peng Soon-Kian Meng pula disingkirkan di peringkat separuh akhir oleh wakil India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-6, 21-15.

Dalam pada itu, Kian Meng mengubat kekecewaan dengan membawa pulang gangsa dalam acara beregu campuran bergandingan dengan Lai Pei Jing.

Pada aksi penentuan pingat berkenaan, mereka menewaskan beregu Scotland, Adam Hall-Julie Macpherson, 21-15, 21-17.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker