Gesa tubuh RCI selepas KeTSA, KASA beri kenyataan berbeza punca banjir Baling

ALOR SETAR: Kelab Sahabat Alam Sik dan Grass Kedah menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selepas wujud percanggahan dalam laporan berhubung punca kejadian banjir puing di Kupang, Baling pada 4 Julai lalu.

Penasihatnya, Mohd Sobri Ramlee, berkata ini kerana berlaku dua kenyataan berbeza dikeluarkan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini.

“KASA sebelum ini di Dewan Rakyat memaklumkan punca banjir di beberapa kampung di Baling, berkemungkinan disebabkan kolam takungan yang dibina di projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas, pecah.



“Manakala KeTSA pula melaporkan hasil siasatan mereka mendapati kolam takungan jauh lebih kecil berbanding dengan kuantiti air yang boleh menyebabkan banjir puing, malah kuantiti itu boleh dianggap tidak bermakna untuk menyebabkan banjir.

“Kenyataan berbeza ini mengelirukan orang ramai terutama penduduk Baling yang terkesan akibat banjir puing sebelum ini, justeru RCI wajar dijalankan bagi memberi penjelasan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian banjir puing sebelum ini, kira-kira 800 penduduk sekitar Kupang terjejas, selain turut mengorbankan tiga nyawa termasuk wanita hamil empat bulan dan mengakibatkan 17 rumah ranap sepenuhnya serta ratusan kediaman rosak teruk.

Mengulas lanjut, Mohd Sobri berkata, pihaknya tetap yakin kolam takungan air durian Musang King menjadi punca berlakunya banjir lumpur pada 4 Julai lalu, berikutan kolam takungan dibina di laluan air turun ke Sungai Kupang.



Katanya, kolam takungan itu menahan lumpur, puing dan kayu, seperti dilihat berlaku di jambatan Kampung Iboi dan ia masih berisiko menjadi penyebab banjir lumpur jika strukturnya pecah.

“Banjir lumpur berserta puing dari hulu sungai adalah berpunca pembalakan berskala besar yang sudah berlaku sejak 10 tahun lalu.

“Atas dasar pembangunan hutan, pembalakan tebang habis (cuci mangkuk) telah terjadi yang mengakibatkan ‘larian’ lumpur dari puncak Gunung Inas terus ke dalam sungai,” katanya.

Mohd Sobri berkata, pembalakan kaedah cuci mangkuk ini juga mengakibatkan tiada lagi pokok kecil kerana pembinaan teres lereng perlu dibuat untuk penyediaan ladang monokultur.



“Pembalakan dan pelaksanaan ladang monokultur di kawasan cerunan dan tebing sungai yang menambah lagi kesan banjir lumpur ini.

“Adakah zon penampan atau zon riparian dipatuhi oleh penggerak projek? Terdapat cerun yang melebihi 25 darjah di balak dan di jadikan teres? Kerana zon penampan dan cerun yang melebihi 25 darjah terkandung

di dalam kriteria penubuhan ladang hutan,” katanya.

Selain itu, Mohd Sobri menegaskan, projek ladang durian Musang King itu juga terletak di Kawasan Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (Rangkaian Utama 5) seperti yang diperincikan dalam Pelan Induk Central Forest Spine (CFS) dan Rancangan Fizikal Negara.



Katanya, CFS mempunyai kawasan tadahan air gunung kritikal dan kawasan tadahan yang membekalkan air untuk 90 peratus penduduk negara.

“Ia mengawal perubahan iklim, melindungi tanah dan menyimpan karbon serta merupakan habitat kepada pelbagai flora dan fauna termasuk subspesies harimau Malaya yang terancam dan gajah Asia.

“Pokok durian Musang King yang ditanam di dalam HSK bukannya untuk penghasilan kayu balak, tetapi untuk pengeluaran buah. Ini secara langsung mengubah fungsi hutan dan merosakkan CFS yang ditetapkan,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button