Malaysia kaut 182 pingat AUG 2022

SUKAN Universiti ASEAN 2022 yang bermula 26 Julai lalu telah melabuhkan tirai di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat, Thailand, Sabtu lalu.

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia melakar sejarah apabila berjaya membawa pulang 49 pingat emas, 83 pingat perak dan 50 pingat gangsa dalam Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 yang berlangsung di Ubon Ratchathani, Thailand baru-baru ini.

Sasaran utama yang diletakkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebanyak 35 pingat emas berjaya dicapai lebih awal diikuti sasaran kedua 45 pingat emas, sekali gus menjadi pencapaian luar jangkaan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen Institut Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia, Datuk Dr. Pekan Ramli, hasil keseluruhan pungutan pingat meletakkan Malaysia di kedudukan kedua selepas tuan rumah yang merangkul 109 pingat emas diikuti Indonesia 43 pingat emas.

“Edisi kali ini merupakan satu kejutan dan luar jangkaan kerana boleh dikatakan hampir kesemua atlet berjaya membawa pulang pingat menerusi enam jenis sukan iaitu olahraga, catur, badminton, wusyu, karate dan taekwondo.

“Sasaran ketiga telah dibuat iaitu 50 pingat emas tetapi tidak berhasil apabila dua acara terakhir bola keranjang wanita dan lelaki hanya berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada pasukan Thailand,” katanya kepada media selepas upacara penutup AUG 2022, Sabtu lalu.

Ujarnya, kesemua atlet negara yang mendapat pingat emas akan menerima ganjaran berjumlah RM3,000, RM1,500 untuk pingat perak, manakala RM750 bagi pingat gangsa diikuti imbuhan berbeza bagi acara berkumpulan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker