Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang Ahad ini

Georgetown: Seramai 300 anggota dan pegawai polis Pulau Pinang akan bertugas memantau keselamatan serta lalu lintas berikutan penutupan sementara jalan sempena acara larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) pada Ahad ini.

Penutupan dan lencongan itu akan dibuat secara berperingkat bermula jam 11 malam pada 10 Disember hingga jam 10 pagi keesokan harinya.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh berkata, acara larian yang membabitkan jarak 42 kilometer itu akan melalui jalan di Persiaran Bayan Indah, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dan Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, berikutan itu, beberapa jalan utama di Timur Laut dan Barat Daya di sini, akan ditutup sementara serta dilencongkan.

“Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif seperti di Jalan Sungai Pinang, Jalan Jelutong, Jalan Bukit Gambir, Jalan Sultan Azlan Shah, Taman Tun Sardon, Jalan Yap Chor Ee dan Jalan Tun Dr Awang bagi ke pusat bandar atau Bayan Lepas.

“Manakala bagi Barat Daya, pengguna disaran menggunakan Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Hilir Sungai Kluang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang untuk ke Seberang Perai.

“Laluan bagi kenderaan dari Seberang Perai yang mahu masuk ke bahagian pulau pula akan dilencongkan ke Jambatan Kedua Pulau Pinang dari tol Juru,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Fisol menasihati pengguna jalan raya supaya mematuhi arahan dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan selain merancang perjalanan lebih awal.

Fisol berkata, orang ramai juga ditegah meletak kenderaan di sepanjang jalan terbabit dengan laluan peserta larian.

“Bagi yang mempunyai jadual penerbangan menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas, mereka dinasihati supaya keluar awal sebelum penutupan atau menggunakan laluan alternatif.

“Pengguna jalan raya juga boleh menggunakan aplikasi navigasi sistem pengesan global (GPS) yang membantu menunjuk laluan alternatif dan lencongan,” katanya lagi.

PBIM adalah acara sukan tahunan terbesar di utara Semenanjung dan dianggarkan, kira-kira 26,000 peserta sudah mendaftar.

Acara larian secara fizikal dianjurkan semula selepas berehat dua tahun dan ia dilakukan secara maya pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik Covid-19.

Kategori perlumbaan yang dipertandingkan termasuk Maraton Penuh (42km), Separuh Maraton (21km) dan Larian 10km (Terbuka/Junior).

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker