Pengawal keselamatan dilibas pedang meninggal dunia

Sungai Petani: Pengawal keselamatan yang cedera di kepala dan tangan kiri akibat dilibas pedang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini hari ini.

Mangsa Ismail Ahmad, 58, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6 petang selepas dimasukkan ke hospital terbabit sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dibubungi mengesahkan mengenai kematian mangsa namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dijalankan.

Difahamkan, mayat akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan punca kematian mangsa hanya akan diketahui selepas proses bedah siasat yang dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat.

Terdahulu, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pedang terhadap mangsa.

Tertuduh, R Subramaniam, 41, mengaku bersalah terhadap perbuatannya itu sebelum mahkamah menetapkan 29 Ogos depan untuk tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan perubatan penuh mangsa.

Mahkamah turut membenarkan Subramaniam diikat jamin RM12, 000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan dengan meminta tertuduh melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sehingga kesnya selesai.

Difahamkan, kematian mangsa itu akan menyebabkan kes berkenaan kemungkinan bakal dipinda mengikut Seksyen 302 KK kerana membunuh.

Dalam kejadian pada 4.40 petang Khamis lalu, Allahyarham Ismail cedera di kepala dan tangan kiri selepas dilibas pedang oleh seorang lelaki yang tidak berpuas hati kerana ditegur mangsa ketika dia menunggang motosikal.

Mangsa dikatakan menegur perbuatan lelaki terbabit yang ketika itu dilihat menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan tapak projek berkenaan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Lelaki terbabit beredar sebelum datang semula bersama dua lagi rakan dan melibas sebilah pedang terhadap mangsa sehingga pengawal keselamatan terbabit terpaksa dikejarkan ke hospital.

Susulan daripada kejadian itu juga menyebabkan berlakunya penyebaran berita palsu di media sosial yang cuba dilakukan individu tertentu dipercayai sengaja mahu mencetuskan isu perkauman.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker