Rahmat harga minyak RM34.70

Kuala Lumpur: Penetapan harga minyak masak sawit tulen dalam botol lima kilogram (kg) pada kadar RM34.70, disifatkan pengguna sebagai rahmat dalam mengurus perbelanjaan keluarga.

Bagi peniaga, penurunan harga barangan asas itu membolehkan stok mereka terjual dengan lebih banyak.

Safiah Razak, 21, berkata, penurunan harga berkenaan akan lebih menjimatkan kos barang keperluan asas pengguna domestik sepertinya, terutama mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai.

“Bagi saya penurunan harga ini lebih berbaloi dan jimat terutama untuk keluarga yang duduk ramai dalam satu rumah.

“Macam keluarga kami, kita beli ikut keperluan sebulan kerana mahu menjaga kualiti minyak,” katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Pembantu kedai runcit, Thillai, 22, pula berkata, penurunan harga itu akan memberi lebih pilihan kepada pengguna kerana kebanyakannya gemar membeli minyak peket berikutan harganya lebih rendah.

“Sejak harga minyak botol naik lebih RM40 kami susah hendak jual kerana orang tak mahu beli, jadi kami hentikan pengambilan stok dan fokus jualan peket sahaja.

“Tetapi apabila harganya kini turun kepada RM34.70, ini satu petanda baik dan mungkin kami akan jual semula minyak botol lima kg kerana ada juga permintaan,” katanya.

Sementara itu, penyelia sebuah pasar raya, Khairul Fauzi menjangkakan permintaan terhadap minyak masak botol akan lebih tinggi disebabkan penurunan harga hari ini.

“Biasanya minyak masak botol lima kg menjadi pilihan pengguna domestik dan ada juga peniaga kecil kerana kebanyakan peniaga besar akan membeli minyak dalam tin lebih 15 kg.

“Sebelum ini, walaupun harga mencecah kira-kira RM45 sebotol, kita masih dapat menjualnya, jadi apabila ia turun kemungkinan permintaan akan lebih tinggi apatah lagi kami turut mengadakan promosi barangan asas termasuk minyak masak.

“Selain itu, bagi pembelian untuk berniaga pula biasanya kami tidak sarankan membeli minyak peket kerana bekalannya kurang dan kami mengehadkan kepada tiga paket seorang dan lebih mengutamakan pengguna domestik dan B40,” katanya.

Sebelum ini kerajaan bersetuju menetapkan harga minyak masak sawit tulen tidak bersubsidi dalam botol lima kg secara bulanan.

Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, harga minyak masak pada bulan ini adalah RM34.70 berkuat kuasa mulai hari ini.

Katanya, keputusan itu diambil berdasarkan penetapan harga maksimum Minyak Sawit Mentah (CPO) yang diumumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada setiap bulan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker