Tanggung derita akibat ketumbuhan dalam paru-paru

Kuala Berang: Hajat seorang lelaki mahu mendalami bidang automotif tidak kesampaian apabila disahkan mengalami ketumbuhan dalam paru-paru sejak bulan lalu.

Muhammad Zarul Haikal Zaidi, 22, dari Taman Pertam, di sini, berkata dia menyedari berlaku perubahan ke atas dirinya apabila sering keletihan, demam dan mudah pengsan.

Menurutnya, akibat kejadian itu, ibu bapanya membawanya ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat ketumbuhan dalam paru-parunya dan dia sudah dua kali dimasukkan ke wad HSNZ sepanjang bulan ini, malah akan dimasukkan ke wad, hari ini untuk menjalani rawatan serta pengambilan sampel ketumbuhan itu.

“Selepas tamat pengajian dalam bidang automotif di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, saya bekerja di sebuah bengkel kereta di daerah ini, namun hanya bertahan selama dua bulan berikutan masalah kesihatan.

“Kerana minat juga, saya mengambil keputusan untuk bekerja sambilan di sebuah bengkel di Dungun, namun cita-cita dalam bidang automotif kini dilihat kian pudar,” katanya yang baru menamatkan pengajian peringkat Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), awal tahun ini.

Katanya, dia berharap dapat menghadiri majlis konvokesyen yang dijadual pertengahan bulan depan tetapi bergantung kepada tahap kesihatannya.

Sementara itu, ibunya, Fariza Abd Rahsid, 46, berkata anak kedua daripada empat beradik berkenaan disahkan mengalami ketumbuhan dalam paru-paru dan kesihatannya semakin merosot sejak sebulan lalu.

“Berat badan semakin susut, suara juga terjejas berikutan urat pada bahagian leher menarik peti suara, selain sering berlaku kekejangan pada anggota badan.

“Selain itu, anak juga mudah deman dan pengsan manakala pada waktu malam anaknya sering terjaga dari tidur apabila anggota badannya berlaku kekejangan,” katanya.

Katanya, sebagai seorang ibu, dia amat risau melihat perkembangan kesihatan anaknya yang tidak menentu berikutan sering pengsan dan mengalami kekejangan anggota badan.

“Saya sentiasa berdoa semoga anak kembali sembuh kerana hatinya amat berat melihat keadaan Zarul yang terpaksa menanggung kesakitan akibat ketumbuhan dalam paru-paru,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker