Anak Muammar Gadafi bertanding pilihan raya presiden

Anak Muammar Gadafi bertanding pilihan raya presiden
Seif al-Islam Kadhafi (duduk, kiri), anak bekas pemimpin Libya, Muammar Gadafi, menyerahkan borang bertanding dalam pilihan raya presiden Disember ini. – Foto AFP

Anak Muammar Gadafi bertanding pilihan raya presiden

TRIPOLI: Seif al-Islam Kadhafi, anak bekas pemimpin Libya, Muammar Gadafi, hari ini mendaftarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya presiden bulan depan.

Pencalonan itu dilihat sebagai langkah penting ke arah membantu negara berkenaan membuka lembaran baharu bagi mengakhiri kemelut yang sudah berlarutan sejak sedekad lalu.

Pilihan raya pertama presiden Libya, dengan pusingan pertama pada 24 Disember, ialah kemuncak proses dilancarkan tahun lalu oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan siri keganasan, sejak kerajaan pimpinan Gadafi digulingkan pada 2011.

“Seif al-Islam Kadhafi menyerahkan pencalonannya untuk bertanding dalam pilihan raya presiden kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Tinggi Kebangsaan di bandar Sebha,” menurut kenyataan suruhanjaya berkenaan.

Agensi itu berkata Seif sudah memenuhi semua syarat perundangan yang diperlukan dan beliau akan diberikan kad pendaftaran pengundi untuk selatan daerah Sebha.

Seif, yang mewarisi legasi bapanya, dilihat mendaftarkan pencalonan dengan mengenakan pakaian jubah tradisi dan lilit kepala kepala (serban).

Libya membuka sesi pendaftaran esok untuk pencalonan pilihan raya presiden dan Parlimen.

Kedua-dua pilihan raya dijadual diadakan pada 24 Disember, tetapi Parlimen pada bulan lalu mengasingkan tarikh pengundian dengan menunda pilihan raya bagi kerusi Parlimen sehingga Januari tahun depan.

Kuasa asing sehingga kini sudah mengenakan tekanan supaya kedua-dua pilihan raya diadakan pada tarikh yang sama, seperti dipersetujui dalam rundingan PBB tahun lalu.

Pada Jumaat lalu, kuasa dunia, ketika sidang kemuncak Paris, mengulangi desakan dengan mengatakan bahawa Libya ketika ini berada di ‘persimpangan’ yang bakal menentukan masa depannya.

Spekulasi Sif akan bertanding pada pilihan raya presiden memuncak sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun, dia masih dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana jenayah kemanusiaan yang didakwa dilakukan ketika revolusi disokong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada 2011 .

Pada Julai lalu, Seif, 49, tampil selepas menghilang diri daripada kaca mata orang ramai dan memaklumkan The New York Times bahawa beliau merancang untuk membuat kemunculan semula dalam dunia politik.

Menerusi satu temu bual, beliau menyatakan hasrat untuk mengembalikan perpaduan yang hilang di Libya, selepas dilanda huru-hara dan tidak menolak kemungkinan bakal bertanding dalam pemilihan presiden.

“Saya sudah menghilang daripada rakyat Libya selama 10 tahun. Anda perlu kembali secara perlahan-lahan. Anda perlu bermain dengan fikiran mereka sedikit,” katanya.

Sebelum temu bual itu, tiada khabar mengenai Seif sejak Jun 2014, apabila beliau muncul menerusi pautan video Zintan, di barat negara berkenaan, ketika perbicaraan oleh mahkamah Tripoli.

Empat tahun kemudian, mahkamah Tripoli menjatuhkan hukuman mati tanpa kehadirannya, selepas ketika perbicaraan terhadap jenayah yang dilakukannya ketika zaman pemberontakan.

Pentadbiran daripada pesaing di timur kemudian memberikan pengampunan kepada Seif tetapi keputusan itu tidak pernah disahkan oleh pihak berkuasa di Tripoli.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menganjurkan persidangan antarabangsa di Paris, Jumaat lalu mengenai keadaan di Libya, untuk membantu membuka lembaran baharu berikutan peristiwa berdarah yang melanda negara berkenaan.

“Kami menggesa supaya pemegang taruh dan calon di Libya untuk menghormati komitmen mereka terhadap penganjuran piilhan raya pada 24 Disember 2021.

“Semua pihak harus menerima keputusan pilihan raya yang bebas, adil dan terangkum,” kata negara kuasa dunia menerusi kenyataan bersama selepas rundingan berkenaan. – AFP

Anak Muammar Gadafi bertanding pilihan raya presiden


Disyorkan Untuk Anda :

Lawati Laman Facebook kami


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker