‘Doakan Ainul Mardhiah’
Kuala Lumpur: “Doakan Ainul.” Itu permintaan Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, bapa kepada Ainul Mardhiah, kanak-kanak yang pernah menghidap barah mulut.
Ahmad Safiuddin, 27, memohon orang ramai mendoakan Ainul Mardhiah, 4, menerusi hantaran di Facebook (Fb) susulan keadaan anak sulungnya itu yang dilaporkan kritikal selepas diserang sawan berulang kali semalam.
Menerusi hantaran sama, Ahmad Safiuddin memaklumkan ia kali pertama Ainul Mardhiah diserang sawan dan berlaku dalam empat hingga lima kali dalam tempoh tidak sampai 12 jam.
“Ainul nampak sangat berbeza sekarang. Ainul pernah banyak kali jatuh sakit sebelum ini, tapi saya nampak dia masih bertenaga untuk melawan walaupun diberi ubat tidur.
“Hari ini, walaupun tanpa ada sebarang ubat tidur, keadaan Ainul sekarang seperti ditidurkan. Hanya bola mata saja Ainul mampu gerakkan. Badannya kaku.
“Saya menangis semahunya sejak serangan berlaku tengah malam tadi. Saya tak dapat nak gambarkan apa yang saya rasa sekarang. Saya sangat sayang dengan Ainul,” katanya menerusi hantaran itu, hari ini.
Menurut Ahmad Safiuddin, doktor masih berusaha merawat Ainul Mardhiah dan dia reda dengan ketentuanNya.
“Kita semua sudah mendoakan yang terbaik untuknya. Sekarang tiba masanya saya serahkan urusan ini kepada yang Hak untuk menentukan.
“Jauh di sudut hati, Saya masih berharap keajaiban dari Allah.
“Semoga Allah izinkan Ainul kuat dan dipanjangkan usianya supaya saya dan keluarga masih dapat menjaga dan membesarkannya di depan mata.
“Tapi apalah daya saya. Saya tidak tahu manakala Dia tahu segalanya. Doakan untuk Ainul Mardhiah kami,” katanya.
Menerusi hantaran berasingan, Ahmad Safiuddin memaklumkan dia berada di sisi Ainul Mardhiah ketika sawan menyerang semalam
“Perit tak terucap bila tengok keadaan kakak semalam. Sakit.
“Hari ini doktor buat CT Brain (imbas CT otak) dan ultrasound di perut. Walid berharap sangat tak ada perkara yang serius menjadi penyebab kakak tiba-tiba sawan semalam.
“Walid berdoa pada Allah, sawan semalam tidak memberi apa apa kesan buruk pada tubuh badan kakak. Kami semua sayang Ainul,” katanya.
Pada 1 Ogos lalu, Ainul Mardhiah dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.
Berita itu dikongsikan oleh ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 27, menerusi platform Instagram (IG) miliknya yang memaklumkan kanak-kanak berkenaan sedang tenat dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) sebuah hospital.
Dua hari kemudian, bapanya, Ahmad Safiuddin menerusi hantaran di Fb memaklumkan keadaan Ainul Mardhiah lebih baik dan tidak lagi kritikal.
Ahmad Safiuddin memaklumkan
anaknya ketika itu direhatkan serta memerlukan sokongan ventilator di PICU.
Derita dialami Ainul Mardhiah pernah mendapat perhatian banyak pihak termasuk daripada pelatih pakar bedah warga Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantunya menjalani pembedahan di London, United Kingdom (UK) bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya pada 2019.
BHOnline