Eksport ayam masih tak dibenarkan – Annuar

Kuala Lumpur: Kerajaan memutuskan untuk tidak lagi membenarkan sebarang eksport ayam buat masa ini dan terus mengekalkan keputusan sebelumnya bagi menjamin bekalannya betul-betul stabil dengan harga jualannya munasabah.

Menteri Komunikasi dan Mutilmedia yang juga Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan untuk menarik balik larangan eksport ayam perlu berpandukan kepada penilaian menyeluruh selepas meneliti semua aspek rantaian bekalan ayam negara.

Beliau akui, ketika ini harga jualan ayam di negara jiran khususnya di Singapura lebih mahal, sekali gus menarik minat penternak tempatan untuk mengeksport bekalannya ke negara itu, bagi menjana keuntungan.

“Keutamaan kita adalah rakyat tempatan. Oleh kerana ayam adalah barangan yang diperlukan setiap keluarga, kerajaan ingin mengekalkan dasar supaya harga ayam rendah seperti mana yang ada sekarang.



“Buat masa ini, tidak ada sebarang keputusan untuk mengubah yang mana eksport belum boleh dibenarkan dan sistem bekalan ayam, hendaklah berjalan seperti mana yang sedia ada,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Berkuat kuasa 1 Jun lalu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mula melaksanakan sekatan eksport ayam membabitkan bekalan ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan.

Namun, beberapa hari lalu, media melaporkan penternak ayam memohon supaya sekatan eksport ternakan itu diteliti semula selepas penternak ayam kecil dan sederhana kini dilaporkan terpaksa menjual ayam pada harga rugi, dalam masa yang sama tetap tidak dapat menampung kos.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, mekanisma mengawal tahap kedudukan bekalan ayam tidak boleh dibuat secara flip flop kerana ia memerlukan masa bagi memastikan bekalan ternakan ini, termasuklah barangan lain berada pada tahap terkawal.



“Adalah perlu bagi jawatankuasa dapat memantau secara menyeluruh kepada pembekalan berkaitan bekalan ayam sama ada bekalan ayam yang sudah dibenar masuk, ayam yang diternak dan bekalan yang dikeluarkan.

“Kita akan melihat sejauh mana dakwaan bekalan sekarang adalah berlebihan. Kita tahu faktor harga mestilah berasaskan kepada bekalan yang cukup, barulah harga boleh kembali stabil atau turun.

“Saya khuatir kalau kita berlumba-lumba untuk mengeksport, mengambil peluang harga mahal di negara lain, dia sekali lagi akan menjejaskan harga tempatan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker