KPDNHEP kesan kedai runcit sorok minyak masak bersubsidi
Kuching: Tindakan sebuah kedai runcit di Lubok Antu, Sri Aman menyorok minyak masak bersubsidi terbongkar apabila dikesan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP) yang menyamar sebagai pengguna, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPNDHEP, Sri Aman, Al Redzamani Abdul Razak berkata, pada mulanya pekerja kedai runcit berkenaan mendakwa kehabisan minyak masak dalam paket satu kilogram (kg) ketika pegawai penguat kuasa mahu membelinya.
Bagaimanapun katanya, selepas menyedari sesuatu mencurigakan, pegawai penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan itu kemudian menemui lima kotak yang keseluruhannya mengandungi 85 paket minyak masak bersubsidi 1kg di dalam kedai runcit itu.
“Berikutan itu, premis kedai runcit terbabit disyaki melakukan kesalahan dengan niat menyorok barang kawalan iaitu minyak masak paket 1kg,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Al Redzamani berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyorok barang kawalan berjadual, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta dan RM3 juta untuk kesalahan berikutnya.
Sementara itu, dalam satu lagi pemeriksaan di sebuah kedai berasingan di pekan kecil berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia itu, kompaun dikeluarkan terhadap premis terbabit kerana gagal meletakkan label, tag atau tanda harga pada minyak masak paket 1kg.
“Peniaga diberi amaran agar tidak mengambil kesempatan dengan memanipulasi stok bekalan dan harga minyak masak paket 1kg bersubsidi terutama di kawasan berdekatan dengan sempadan negara khususnya di Lubok Antu, Sri Aman.
“Tindakan tegas akan diambil jika ada peniaga cuba mencabar pihak berkuasa dengan melanggar syarat- syarat lesen mahupun yang tidak berlesen,” katanya.
METRO