Pembangkang Seakan Mahu PRU Dilengahkan – Rashidah



KUALA LUMPUR – Gerakan-gerakan yang ditunjukkan oleh pihak pembangkang pada hari ini seolah-olah menunjukkan mereka tidak mahu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli berkata, fenomena ini amat berbeza sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu apabila mereka sangat berani tampil dengan segala fitnah bagi memperdaya rakyat.

“Saya melihat gerakan-gerakan daripada pihak pembangkang hari ini seolah-olah menunjukkan mereka tidak mahu dan ingin melengah-lengahkan pilihan raya. Mereka tidak berani untuk mendepani PRU sedangkan fenomena ini amat berbeza sebelum PRU14. Sebelum PRU14, mereka tampil sangat berani dengan segala fitnah.

“Hentikanlah menipu rakyat. Hentikanlah menabur janji dalam perkara-perkara yang mustahil. Rakyat sudah boleh membuat penilaian dan dengan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN), kita dah faham apa signal yang dimahukan oleh rakyat,” katanya kepada UMNO Online.



Menurut Rashidah, adalah menjadi satu cabaran yang amat getir bagi meyakinkan rakyat. Namun, kehadiran wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang kuat bekerja mampu memberikan bukti bahawa BN cakna masalah rakyat.

“Memang menjadi satu cabaran yang amat getir untuk meyakinkan rakyat. Tetapi dengan mandat yang diberi selepas PRN dengan kestabilan yang ada di negeri Johor, ia memberikan satu laluan untuk kerajaan yang ada pada hari ini bukan sahaja meletakkan ikhtiar BN sebagai keutamaan, tetapi juga saya melihat keseluruhan calon BN hari ini terus bekerja. Itulah sebagai isyarat untuk kita memberikan keyakinan kepada rakyat.

“Maknanya bukan sekadar janji tetapi memberikan bukti.Kalau saya boleh sebutkan di Johor ni keseluruhan wakil rakyat menyantuni rakyat, mendepani masalah rakyat yang kritikal mendepani isu kos sara hidup. Bukan mudah sebenarnya.

“Cacian, makian dan sebagainya terpaksa dihadapi. Tetapi kita buktikan dengan wakil rakyat yang bekerja. Itulah yang dapat kita berikan kepada rakyat. Kita bekerjasama dengan isyarat daripada YAB Menteri Besar Johor supaya seluruh agensi bersama-sama dengan wakil rakyat untuk bekerja sebagai satu pasukan dalam menangani masalah-masalah rakyat,” katanya lagi.



Mengulas mengenai tanggapan ketika UMNO/BN dianggap telah berkubur pada satu ketika dahulu, Rashidah turut berkongsi pengalaman beliau menjadi wakil rakyat dalam tempoh tersebut.

“Ketika UMNO/BN satu ketika dianggap telah berkubur memang satu tikaman yang amat pahit. Saya sendiri ketika itu wakil rakyat kali pertama buat penggal pertama dan duduk sebagai kerusi bukan kerajaan. Memang sangat-sangat mencabar. Tetapi dengan manifesto dan janji yang tidak pernah ditepati oleh Pakatan Harapan (PH), ia telah menunjukkan satu signal untuk rakyat mesti memberikan suara bantahan kepada apa yang telah dijanjikan PH.

“Jadi dalam perkara ini, untuk terus memastikan momentum kearah PRU15, BN dapat kembali dapat menerajui Putrajaya, momentum yang ada dalam kejayaan-kejayaan selepas PRK dan PRN sebenarnya telah memberikan satu petunjuk bahawa rakyat mahukan bukan sahaja kestabilan, tetapi kesejahteraan yang lebih terjamin.

“Jaminan daripada segi pendidikan, jaminan dari segi kos sara hidup, jaminan dari segi infrastruktur yang lebih terjamin untuk rakyat. Kemenangan yang ada ini bukanlah untuk mendabik dada dan kita dah selesa. Tapi dengan kemenangan di PRK dan juga di PRN ini memberikan satu semangat kepada seluruh lapisan jentera untuk bekerja dengan lebih kuat untuk memastikan kemenangan dalam PRU nanti,” katanya.



UMNO Online



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker