RUU bertukar parti tak terpakai ke atas Senator

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini selepas mengambil kira beberapa aspek membabitkan isu perundangan di peringkat negeri dan perundingan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik baginda.

Beliau berkata, ketika ini ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang dilantik oleh Agong dan yang dipilih oleh negeri berdasarkan keahlian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili parti-parti politik.

“Oleh demikian, larangan bertukar parti pada peringkat ini tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara mengambil kira beberapa aspek penting iaitu isu perundangan ini di peringkat negeri selain memerlukan perundingan dan perkenan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik Agong.

“Ahli Dewan Negara dan semua pihak berkepentingan sewajarnya diperjelaskan menerusi sesi libat urus terlebih dahulu sebelum pindaan perlembagaan berkaitan pindah parti. Jadi, kita akan bincang dengan Ahli Dewan Negara,” katanya ketika membentangkan Rang Undang Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti di Dewan Negara, hari ini.

RUU ini akan dibahaskan Ahli-ahli Dewan Negara sebelum digulung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dijadual jam 3 petang ini.

RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat pada 28 Julai lalu dan kini menanti kelulusan Dewan Negara sebelum proses pewartaan undang-undang dapat dilaksanakan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker