Sultan Mizan rasmi pusat selam UMT

Rohana Man

Sultan Mizan Zainal Abidin (tengah) tiba mencemar duli bagi merasmikan UMT Diving School di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong, Terengganu, baru-baru ini.

 

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan UMT Diving School yang terletak di Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT, Pulau Bidong, Terengganu, baru-baru ini.

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, pihaknya menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan baginda untuk berangkat ke Pulau Bidong bagi menyempurnakan majlis itu.

 

Menurutnya, secara tidak langsung keberangkatan baginda ke pulau tersebut mencerminkan keprihatinan terhadap pengurusan marin dan alam sekitar yang menjadi bidang utama kajian penyelidik UMT.

 

“UMT amat berterima kasih di atas perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku berangkat ke Pulau Bidong bagi menyempurnakan majlis ini,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

 

Sejarah baharu tercipta apabila UMT Diving School ditubuhkan di stesen yang terletak di pulau bersejarah itu.

 

Pulau Bidong merupakan sebuah pulau kecil di perairan Laut China Selatan dan boleh dimasuki dari Merang di Setiu, Terengganu.

 

Pada 8 Ogos 1978, Pulau Bidong telah dijadikan tapak peralihan pelarian perang oleh kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dengan penempatan kumpulan pertama sebanyak 121 pelarian Vietnam.

 

Sejak itu sehingga 1991, pulau tersebut menjadi tempat perlindungan pelarian Vietnam yang melarikan diri daripada pemerintahan komunis di Vietnam.

 

Mengulas lanjut, Dr. Mazlan berkata, penubuhan pusat selam itu pada awalnya bertujuan menyediakan lokasi latihan kepada pelajar program Sains Samudera dan Perikanan.

 

Justeru, katanya, penubuhan pusat selam itu bertepatan dengan bidang tujahan UMT dan penting bagi menyokong pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran.

 

“Ia juga menjadikan UMT sebagai satu-satunya universiti yang mempunyai ‘dive centre’ yang beroperasi di kampus utama dan Stesen Penyelidikan Alami Marin Pulau Bidong,” tambahnya.

 

Menurutnya, pusat selam itu berperanan dalam menyediakan perkhidmatan operasi bagi semua aktiviti selam skuba di UMT merangkumi perkhidmatan penyelam profesional, penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, kemudahan sewaan peralatan dan arkeologi bawah air.

 

Dr. Mazlan berharap semua pihak memberikan komitmen dan dedikasi yang tinggi kepada penubuhan pusat selam tersebut serta operasinya terutama pelajar, penyelidik dan agensi luar.

 

Dalam pada itu, carian maklumat di internet mendapati UMT menggunakan kepakaran penyelam profesional bagi membantu dan melatih golongan belia Orang Kurang Upaya (OKU) dalam aktiviti skuba.

 

Mereka memberi pendedahan kepada pelatih selam skuba UMT menyantuni belia OKU untuk menyelam di dasar laut.

 

Latihan dijalankan di kolam renang UMT, sebelum belia OKU terbabit dibawa ke Pulau Bidong untuk merasai pengalaman sebenar berada di dasar laut.

 

Belia OKU terbabit dipilih daripada mereka yang mengalami masalah deria pendengaran dan cacat anggota badan.

 

Dalam pada itu, UMT menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai universiti pertama di negara ini yang memperoleh ISO 9001: 2015 (Sistem Pengurusan Kualiti).

 

UMT memperoleh pensijilan itu dalam skop Pengurusan Latihan Berkaitan Kursus Perlesenan Selam Skuba, Perkhidmatan Pendidikan Di Peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda dan Pasca Siswazah, Pengurusan Penyelidikan dan Proses Sokongan Universiti.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker