Tze Yong azam turut `mengaum’ pada kejohanan dunia

BIRMINGHAM: Jaguh perseorangan badminton negara, Ng Tze Yong mahu membawa rentak cemerlang yang dipamerkannya pada Sukan Komanwel 2022 di sini, apabila berentap pada Kejohanan Dunia di Jepun, bermula 22 Ogos.

Tze Yong yang tidak diberi harapan tinggi untuk memenangi pingat pada temasya di sini, meraih perak selepas tewas kepada pemain India, Lakshya Sen pada aksi final.

Dalam aksi sengit selama 81 minit di National Exhibition Center (NEC) itu, dia tunduk kepada naib juara Seluruh England, 21-19, 9-21, 16-21.

Sebelum ini, Tze Yong melakar kejutan apabila menjinakkan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew, 21-15,14- 21,11 -21 di suku akhir sebelum menijnakkan jaguh India, Srikanth Kidambi 13-21, 21-19, 21-10 pada aksi separuh akhir.



“Saya harap dapat bawa momentum cemerlang ini nanti pada kejohanan dunia. Masih ada masa kurang sebulan lagi, namun saya janji akan buat terbaik pada kejohanan itu,” katanya ketika ditemui di NEC selepas memenangi pingat perak itu.

Tze Yong yang terpilih menyertai kejohanan dunia di Tokyo itu selepas penarikan diri beberapa pemain lain, akan turut disertai pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia dan Daren Liew.

Mengenai kejayaannya meraih pingat perak dan emas berpasukan campuran pada Sukan Komanwel 2022 ini, Tze Yong mengakui dia tidak menyangka sama sekali dapat memenanginya.

“Saya tak jangka dapat memenangi pingat ini,” katanya dalam nada gembira. “Jujur saya katakan, saya puas hati dapat pingat berkenaan dalam temasya ini.



“Pada kejohanan lain, saya kena kerja keras lagi untuk berjaya,” katanya yang mendedikasikan kejayaannya itu kepada rakyat Malaysia selain jurulatih dan rakan sepasukan serta semua pihak berkaitan.

Tze Yong berkata selepas ini dia memfokuskan kepada usaha meningkatkan stamina dan tenaganya selain berharap dapat bertemu dengan pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Beliau juga tekad memperbaiki kedudukannya dalam ranking dunia sehingga kepada 10 terbaik selepas ini, namun mengakui ia bukan tugasan mudah.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker