Cubaan bawa masuk rokok bernilai RM7.35 juta gagal

Butterworth: Cubaan menyeludup masuk 10.2 juta batang rokok seludup yang diikrar sebagai cendawan tin dari Asia Timur dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor pada 1 Ogos lalu.

Rampasan hasil operasi dijalankan Cawangan Siasatan Khas bersama Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang dengan dibantu Unit Kawalan Kontena (CCU) Pelabuhan Klang, Selangor kira-kira jam 1.10 tengah hari ke atas sebuah kontena di pelabuhan berkenaan.

Pengarah JKDM negeri, Datuk Abdul Halim Ramli berkata pihaknya sebelum itu membuat intipan di pelabuhan berkenaan selepas memperoleh maklumat berhubung kegiatan mencurigakan itu.

Katanya, hasil pemeriksaan rapi terhadap kontena itu, menemukan 1,021 kotak utama mengandungi rokok putih disyaki tidak berkastam bersamaan dengan 10.2 juta batang rokok membabitkan nilai RM816,800 dan cukai berjumlah lebih RM6.54 juta.

“Siasatan awal mendapati kontena itu dikendalikan sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan ia diimport oleh sebuah syarikat yang berstatus Sendirian Berhad di Kuala Lumpur.

“Melalui dokumen yang diperoleh, dagangan ini disyaki berasal dari salah sebuah negara di Asia Timur dan syarikat ini cuba mengelirukan pihak kastam apabila mengikrarkan dagangan sebagai cendawan tin,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal, di sini, hari ini

Jelasnya, syarikat itu juga cuba mengelirukan pihak kastam dengan modus operandi mengikrarkan dagangan berkenaan sebagai cendawan tin.

“Dalam pada itu, syarikat itu juga cuba mengelirukan kita sehingga memerlukan pihak kastam menyiasat pengirim serta penerima sebenar.

“Alamat penerima mengelirukan dan kewujudan syarikat juga diragui kerana semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan syarikat terbabit adalah nomad (berpindah randah),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, Seksyen 135(1)(g) akta sama serta Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker