Liga Super: JDT kenduri gol, jinakkan Perak FC 5-0

Liga Super: JDT kenduri gol, jinakkan Perak FC 5-0

Liga Super: JDT kenduri gol, jinakkan Perak FC 5-0
BERGSON DA SILVA meraikan gol jaringannya pada perlawanan Liga Super menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, hari ini. Foto RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir merangkul trofi Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas menjinakkan The Bos Gaurus 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini sebentar tadi.

Pasukan kendalian Esteban Solari itu yang sudah mengumpul 60 daripada 20 perlawanan liga, dibezakan 17 mata dengan pasukan di tempat kedua, Selangor FC hanya memerlukan satu lagi kemenangan bagi mengesahkan kejuaraan liga terus berada dalam dakapan Harimau Selatan.

Pada perlawanan itu, JDT seperti kebiasaan beraksi di SSI mendominasi permainan sebaik minit pertama memerlukan sedikit masa sebelum meruntuhkan benteng pertahanan Perak FC.



JDT memecahkan kebuntuan menerusi rembatan deras Heberty Fernandes dari jarak 25 meter pada minit ke-21 menerjah penjuru kanan atas gawang Perak menewaskan T. Shaheeswaran.

Fernandes mempamerkan taringnya sebagai penggempur berbisa apabila meledak tiga gol dalam tiga perlawanan Liga Super berturut-turut sejak menyertai JDT pada pertengahan bulan lalu.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Antara Anwar Dan Muhyiddin, Siapa Penipu Nombor Wahid




Lima minit berselang, giliran Arif Aiman Hanapi membuat percubaan tepat ke arah pintu gol namun kali ini Shaheeswaran lebih bersedia menguis bola tersebut dan memberikan sepakan penjuru kepada JDT.

Berpunca daripada sepakan penjuru itu, Matt Davies yang menerima hantaran di sayap kiri gawang membuat tandukan lambung ke dalam kotak penalti yang akhirnya menghasilkan jaringan setelah Shaheeswaran terpedaya dengan lonjakan Fernandes yang gagal menanduk bola itu pada minit ke-27.

Pada minit ke-33, Juan Muniz gagal memanfaatkan sepakan percuma di kedudukan yang hampir dengan pintu gol Perak apabila rembatan dilepaskan sedikit tersasar.

Shaheeswaran melakukan ‘blunders’ apabila hantaran ke belakang diterimanya disepak tepat ke kaki Bergson Da Silva yang dilihat cukup tenang meletakkan bola itu ke gawang The Bos Gaurus dengan melakukan sepakan lambung melewati penjaga gol pada minit ke-35.



Bersambung babak kedua, JDT dilihat tidak mengendurkan serangan walaupun di kedudukan selesa dengan melancarkan serangan demi serangan bagi memburu jaringan yang lebih besar.


DISYORKAN UNTUK ANDA :

Antara Azmin Ali dan Harisson, ‘Skandal’ siapa lebih besar?


Pada minit ke-55, Jordi Amat melakukan hantaran jauh mencari Oscar Arribas di bahagian sayap kiri yang mudah melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan rendah melepasi hadangan yang dibuat Shaheeswaran.



10 minit berselang, skuad kendalian Solari itu terus menambah derita buat pasukan pelawat apabila meledak gol kelima perlawanan menerusi gol jaringan Muniz hasil sepakan bebas yang melayang menerjah penjuru kanan gol pada minit ke-65.

Pasukan pelawat dilihat terus buntu tanpa arah untuk setidaknya mendapat gol saguhati bagi mengubati kekecewaan pada perlawanan ini.

Syafiq Ahmad dan Ramadhan Saifullah yang dibawa masuk pada pertengahan babak kedua tidak berupaya untuk melebarkan jaringan gol dan tiada pertambahan gol direkodkan.

JDT boleh dinobatkan sebagai juara Liga Super musim ini sekiranya berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada 26 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE



Liga Super: JDT kenduri gol, jinakkan Perak FC 5-0


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

BERSATU perlu terima hakikat PAS lebih dominan



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button