Haaland beri amaran buat pencabar City
LONDON: Erling Haaland memberi amaran kepada pencabar Manchester City bahawa dia baharu sahaja menyesuaikan diri selepas penampilan pertama yang menakjubkan.
Penyerang berusia 22 tahun itu meledak dua kali ketika berdepan West Ham semalam.
Dia tampak sudah bergandingan baik dengan rakan sepasukan baharunya di Etihad.
Namun dia mendakwa pasukan juara bertahan kendalian Pep Guardiola hanya akan bertambah baik ketika dia juga akan lebih memahami bintang di sekelilingnya.
Bintang Norway itu berkata: “Saya dikelilingi pemain menakjubkan dan kami dibina untuk sesuatu.
“Kami akan menjadi lebih baik. Ia masih di awal musim — dan kami perlu berada di tahap terbaik untuk apa sahaja. Tapi ia permulaan yang bagus.”
Haaland menggunakan sepenuhnya hantaran daripada Ilkay Gundogan dan Kevin De Bruyne bagi menghasilkan gol berdepan Hammers.
Dia merasakan hubungan dengan pemain kreatif akan memberikannya senjata buatnya terus meningkat.
Dan ia pastinya memberikan rasa bimbang buat pencabar mereka dengan kelab itu menang gelaran Liga Perdana musim lalu dengan pemain tengah, De Bruyne menjadi penjaring terbanyak kelab bersama 15 gol.
AGENSI