Penduduk gotong-royong baik pulih takungan air masyarakat

BALING: Lebih 50 penduduk bergotong-royong membaik pulih takungan bekalan air masyarakat yang pecah ketika banjir kilat di Kampung Telok Sanau, 1 Ogos lalu.

Takungan air yang digunakan penduduk di Kampung Telok Sanau dan Batu Tujuh itu terputus bekalan selepas takungan pecah dalam kejadian banjir kilat.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat (BAM) Shukri Hamid, 57, berkata penduduk menggunakan bekalan air jernih itu untuk rutin harian termasuk kegunaan surau dan masjid, namun apabila takungan itu pecah mereka mengambil inisiatif bergotong-royong membaik pulih semula serta menyambung paip yang rosak.

“Takungan pecah selepas terkena terjahan batang kayu balak selain penuh bongkah kayu di dalamnya.

“Air menjadi keruh dan struktur dibina rosak menyebabkan penduduk terputus bekalan air yang digunakan sejak lebih 15 tahun lalu,” katanya.

Shukri berkata, sebelum ini setiap kali hujan dan banjir penduduk hanya bergotong-royong membersihkan takungan air yang penuh dengan sampah sarap.

“Tetapi kali ini takungan itu pecah dan penuh dengan bongkah kayu, dipercayai penebangan kayu balak yang berleluasa di kawasan Gunung Inas,” katanya.

Beliau berkata, penduduk kampung turut menyumbang wang dan juga menerima sedikit sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membaik pulih takungan serta membeli batang paip yang pecah.

“Kita memulihara alam supaya kawasan takungan itu tidak tercemar kerana air bukit jernih dan selamat digunakan oleh penduduk.

“Air masyarakat di Kampung Telok Sanau dapat membantu penduduk sekiranya bekalan Syarikat Air Darul Aman (Sada) yang sering terputus,” katanya.

Beliau berkata, jarak kolam takungan itu hanya tiga kilometer dengan penempatan penduduk.

“Air jernih dari bukit itu juga mengalir melalui anak sungai ke kampung dan digunakan penduduk di tebing sungai untuk mandi serta membasuh,” katanya.

Seorang penduduk, Zainol Ismail, 62, berkata penduduk sentiasa memantau kolam takungan itu supaya selamat dan tidak tercemar, cuma sejak akhir-akhir ini apabila hutan Gunung Inas diteroka berleluasa, berlaku banjir kilat yang teruk.

“Selagi tidak dibendung penebangan balak di Gunung Inas, penduduk hidup tidak tenteram lagi kerana bimbang kejadian akan berulang.

“Apabila hujan lebat dan berlaku banjir sudah tentu tanah berlumpur akan mengalir ke penempatan penduduk dan air sungai menjadi keruh,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker