Sang bedal semakin berani

Kinabatangan: Ketika masih kecil, Sidik Tudin pernah berenang di Sungai Kinabatangan bersama rakan yang lain selepas tamat waktu persekolahan.

Malah, penduduk kampung turut mencuci pakaian di tepi sungai dan orang ramai bergantung hidup dengan sungai tanpa takut.

Bagaimanapun, ia kisah 50 tahun lalu apabila penduduk tidak bimbang diserang atau dibaham buaya di sungai sejak zaman dahulu lagi.

Sidik, 55, yang juga Ketua Kampung Mukim Paris, di sini, berkata ketika itu penduduk kampung menganggap buaya sebagai haiwan ‘pemalu’ kerana reptilia terbabit menjauh apabila melihat manusia.

Menurutnya, reptilia itu lebih kerap dilihat waktu malam ketika penduduk menangkap ikan.

“Tetapi sejak dua tahun lalu, buaya berubah sikap, ia muncul pada waktu siang dan malam.

“Tidak seperti dahulu, haiwan itu kini lebih berani dan mendedahkan diri serta semakin dekat apabila melihat orang,” katanya.

Sidik berkata, berdasarkan kekerapan penampakan, populasi buaya di kawasan itu berkemungkinan lebih banyak berbanding jumlah yang dijangka.

Menurutnya, reptilia itu boleh membesar sehingga 1.5 meter panjang.

Dalam pada itu, Sidik yang menyelia tujuh kampung dengan 6,000 penduduk berkata, kira-kira 50 penduduk bergantung kepada sungai sebagai mata pencarian.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, tiga orang di Kinabatangan maut akibat serangan buaya dan kematian terbaru pada 30 Julai lalu membabitkan seorang wanita yang memancing di tebing sungai di Kampung Tanjung Bulat Sinar Jaya, Kota Kinabatangan, dekat sini.

Susulan kematian itu, Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri menggesa pihak berkuasa menangani isu terbabit termasuk mengaudit populasi buaya dan meneliti permit atau membenarkan pemburuan buaya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Lapangan Danau Girang Prof Benoit Goossens berkata, sejak 50 tahun lalu, habitat buaya semakin berkurangan.

“Saya tidak boleh mengatakan buaya menjadi lebih agresif. Pada saya, anda boleh katakan buaya lebih agresif jika mereka menyerang bot, sebagai contohnya.

“Tetapi mengambil kira seseorang yang berenang di sungai atau memancing di tepi sungai, tidak boleh dikatakan agresif kerana ia kelakuan normal (biasa) buaya.

“Dalam dua tahun lalu, kekurangan pemangsa besar seperti babi berikutan wabak demam babi Afrika menjadikan buaya beralih kepada manusia,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker