Tiada kompromi, pilih kasih pegawai awam cuai, tak patuh peraturan – KPPA

PUTRAJAYA: Pegawai perkhidmatan awam yang tidak patuh dan cuai dalam hal berkaitan keselamatan serta kedaulatan negara perlu dikenakan tindakan serta-merta tanpa kompromi atau ada elemen pilih kasih.

Mengingatkan demikian, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah, berkata ketidakpatuhan dan kecuaian yang perlu dikenakan tindakan sedemikian terutama membabitkan hal keselamatan di pintu utama keluar masuk negara.

Menegaskan demikian dalam satu surat edaran dikeluarkan pada Isnin lalu, beliau turut menyenaraikan tiga daripada sembilan Nilai Teras Keselamatan Negara yang terkandung dalam Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2021-2025.



Katanya, Teras 1 mengenai kedaulatan dan keutuhan wilayah, Teras 4 berkaitan tadbir urus yang baik dan Teras 6 membabitkan keselamatan rakyat, bermakna menjaga keselamatan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama semua pegawai awam dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Katanya, Teras 8 merujuk aktiviti agensi penguatkuasaan undang-undang yang jika tidak ditadbir urus dengan baik mengikut peraturan dan undang-undang, akan menyebabkan kesan berantai yang negatif kepada keselamatan ekonomi, keteteraman dan keselamatan awam serta keselamatan masyarakat dan sosial.

“Justeru, teguran yang merujuk kepada ketidakpatuhan prosedur yang boleh menjejaskan kedaulatan negara dan integriti kerajaan hendaklah dibuat oleh semua pihak yang bertanggungjawab, terutama oleh ketua jabatan tanpa sebarang alasan,” katanya.

Difahamkan, surat berkenaan itu diedarkan kepada Pejabat Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan semua kementerian.



Mohd Shafiq berkata, dengan mengambil kira peraturan yang berkuat kuasa dan peringatan demi peringatan yang dikeluarkan sebelum ini, sekiranya terdapat cukup bukti menunjukkan seseorang pegawai melanggar mana-mana peraturan, tindakan tatatertib termasuk buang kerja boleh diambil.

“Tindakan tatatertib termasuk buang kerja kerja boleh diambil kerana ingkar perintah serta menjejaskan imej perkhidmatan awam. Tindakan tatatertib boleh diambil seperti peruntukan bawah sub peraturan 19 (1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU (A) 395/1993).

Peraturan 3D dalam Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) yang dikeluarkan pada 1993 (PU (A) 395/1993) juga, katanya, memperuntukkan tanggungjawab kepada KPPA untuk memantau pelaksanaan tindakan tatatertib oleh ketua jabatan ke atas pegawai awam yang melanggar peraturan.

Beliau menegaskan, Peraturan 3C pekeliling sama meletakkan tanggungjawab ke atas seorang ketua jabatan untuk menjalankan kawalan dan pengawasan pegawai bawah seliaannya serta mengambil tindakan bersesuaian dengan segera terhadap pelanggaran peruntukan di bawah peraturan itu.



Katanya, mana-mana ketua jabatan yang didapati gagal menjalankan pengawasan ke atas pegawai bawahannya, hendaklah disifatkan cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab, sekali gus tindakan tatatertib diperuntukkan bawah Peraturan 3C(2) boleh dikenakan terhadapnya.

“Jabatan ini ingin menegaskan agar semua ketua jabatan lebih bertanggungjawab untuk sentiasa memantau penyampaian perkhidmatan oleh pegawai-pegawai bawah seliaan dan mereka hendaklah memberi teguran sekiranya terdapat elemen kecuaian bagi memastikan prosedur adalah pada tahap ditetapkan.

“Keluarga Malaysia sebagai pengguna atau pelanggan bagi perkhidmatan awam juga berhak dan boleh membuat teguran sekiranya tidak berpuas hati dengan kualiti penyampaian perkhidmatan awam di negara ini,” katanya.

Mohd Shafiq berkata, sebarang aduan boleh dibuat menggunakan saluran rasmi yang disediakan oleh Biro Pengaduan Awam (BPA) bagi membolehkan kerajaan mengambil tindakan untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan mutu serta kualiti perkhidmatan dari masa ke masa.



Sebelum ini, tercetus kontroversi membabitkan KPPA dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) selepas Mohd Shafiq didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3 Ogos.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyifatkan dakwaan itu tidak berasas dan berniat jahat untuk menjatuhkan imej Mohd Shafiq, sedangkan beliau hanya menegur seorang pegawai Imigresen kerana ketidakpatuhan amalan dan prosedur apabila tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasport KPPA serta delegasi ke luar negara.

Susulan itu, Kabinet mengarahkan KSN, Tan Sri Mohd Zuki Ali menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat isu terbabit yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan dianggotai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button