Bursa Malaysia kembali atasi 1,500 mata

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pagi ini, pulih daripada kerugian yang dicatatkan semalam apabila selera risiko pelabur kembali meningkat berikutan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah daripada jangkaan.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 10.19 mata kepada 1,502.52 berbanding 1,492.33 pada penutup Rabu.

Indeks penanda aras itu mengukuh 5.48 mata untuk dibuka pagi ini pada paras 1,497.81.



Pergerakan harga di pasaran secara menyeluruh adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 257 berbalas 71, manakala 172 kaunter tidak berubah, 1,783 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 159.82 juta unit bernilai RM70.04 juta.

Data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS, yang mengukur inflasi mencatatkan 8.5 peratus pada bulan Julai, di bawah unjuran pasaran sebanyak 8.7 peratus, menunjukkan bahawa ekonomi negara itu pulih lebih cepat daripada jangkaan.

Purata DJI melonjak 535 mata dan Nasdaq memperoleh 361 mata, manakala hasil 10 tahun AS kekal pada 2.78 peratus.



Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, memandangkan prestasi teguh di Wall Street semalaman, beliau mengunjurkan FBM KLCI akan kembali pulih daripada kelemahan baru-baru ini dan indeks akan berlegar dalam julat 1,495-1,510 hari ini.

“Kami percaya minat belian juga mungkin muncul untuk saham teknologi selepas aktiviti jualan baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Dua pertiga daripada kaunter berkaitan 30 indeks mencatatkan keuntungan pagi ini, diterajui Inari yang meningkat sebanyak 2.83 peratus atau lapan sen kepada RM2.90, manakala Petronas Chemicals adalah penyumbang terbesar kepada kenaikan indeks komposit pada 2.32 mata selepas kaunter itu naik 17 sen kepada RM8.89.

Sementara itu, Maybank menokok lima sen kepada RM8.95, Public Bank menambah empat sen kepada RM4.67, CIMB dan Tenaga masing-masing meningkat tiga sen kepada RM5.33 dan RM8.46, manakala IHH Healthcare kekal pada RM6.42.



Bagi saham aktif, G3 Global naik setengah sen kepada empat sen, Dagang Nexchange dua sen lebih tinggi pada 89 sen, SFP meraih empat sen kepada 98 sen dan Infoline memperoleh 1.5 sen kepada 38 sen, manakala Sapura Energy tidak berubah pada lima sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 78.41 mata kepada 10,640.15, Indeks FBMT 100 mengembang 74.39 mata menjadi 10,388.56 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih tinggi sebanyak 83.91 mata kepada 10,753.21.

Indeks FBM 70 melonjak 106.53 mata kepada 12,658.63 manakala FBM ACE naik 35.44 mata kepada 4,867.07.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 97.92 mata kepada 16,747.53, Indeks Tenaga menambah 4.7 mata kepada 651.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih tinggi sebanyak 2.48 mata kepada 183.43 dan Indeks Perladangan meningkat 23.36 mata kepada 7,147.23



-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button