Tujuh kedai makan abai kebersihan diarah tutup

KUANTAN: Tujuh premis makanan di daerah ini diarah tutup selepas didapati mengabaikan kebersihan dalam Operasi Gempur Premis Makanan dilaksanakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, berkata arahan penutupan premis terbabit selama tiga hari dikeluarkan mengikut Seksyen 72 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Langkah Perlu Bagi Menjamin Kesihatan Awam).

Katanya, tindakan itu hasil pemeriksaan ke atas 71 premis makanan yang mendapati segelintir peniaga tidak mengendahkan notis peringatan kebersihan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, baru-baru ini.

“Hasil pemeriksaan itu juga, sebanyak 59 kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Kawalan dan Penyeliaan Tempat Makanan (MPK) 1983.



“Selain itu, 10 notis peringatan dan arahan melaksanakan kerja pembersihan turut dikeluarkan kepada pengusaha di premis yang ingkar ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Norkamawati berkata, antara kesalahan dikesan dalam operasi bermula 7 Ogos lalu adalah memakai selipar, tidak menutup kepala dan tempat penyediaan makanan kotor.

“Operasi akan diteruskan untuk memastikan peniaga makanan mengutamakan kebersihan. Di daerah ini, kira-kira 2,000 premis makanan beroperasi dan penguat kuasa MBK akan melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa.

“Pemeriksaan premis premis makanan ini perlu dilakukan untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan pelanggan apabila makan dan minum di premis berkenaan,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker