Anggota bomba baharu isi kekosongan mulai Selasa

JOHOR BAHRU: Selepas lebih tiga tahun tidak melaksanakan pengambilan anggota baharu akibat pandemik COVID-19, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menempatkan 970 anggota baharu yang sudah ditauliahkan baru-baru ini untuk mengisi kekosongan di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, mereka termasuk 280 anggota bomba baharu di Sabah dan Sarawak sudah menamatkan kursus Sijil Sains Kebombaan siri 1/2022 akan mula melapor diri di balai dan zon seluruh negara bermula Selasa ini.

Katanya, ia bagi menampung kekosongan perjawatan susulan daripada persaraan anggotanya mahupun atas sebab-sebab lain.

“Ini adalah pengambilan terbaru selepas tiga tahun ia tidak dapat dilaksanakan akibat pandemik COVD-19.



“Terdapat banyak balai baharu dibangunkan selain kekosongan kerana persaraan. Kita akan isi jawatan ini.

“Pada tahun 2019, 2020 dan 2021 ada pegawai dan anggota yang bersara, kita tidak ada membuat pengambilan dalam tempoh itu kerana pandemik COVID-19. Dalam tempoh setahun terdapat 200 hingga 300 anggota dan pegawai yang bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Nota Serah Tugas Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis di Ibu Pejabat JBPM Negeri Johor di sini, semalam.

Yahaya, 60, yang sudah berkhidmat 36 tahun dengan jabatan itu akan bersara wajib berkuat kuasa Ahad ini, diberi penghormatan terakhir termasuk istiadat Majlis Perbarisan Penghargaan Pengarah JBPM Negeri Johor.



Menurut Mohammad Hamdan, ketika ini masih terdapat anggota bagi gred KB29 dan KB41 sedang mengikuti kursus dan transformasi yang dijadualkan tamat pada November ini.

Sebaik ditauliahkan, katanya, anggota terbabit akan mengisi kekosongan di peringkat pengurusan pertengahan, Ketua Unit dan Ketua Balai.

“Kursus dan transformasi bagi gred KB29 dan KB41 ini mengambil masa enam hingga sembilan bulan, insya-Allah selepas tamat mereka ini kita akan ditempatkan bagi mengisi kekosongan yang sesuai,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker