J&J hentikan jualan bedak bayi talkum pada 2023

New York: Selepas diasak dengan pelbagai saman, akhirnya syarikat Johnson & Johnson (J&J) akan menghentikan penjualan bedak bayi berasaskan talkum secara global pada 2023.

Syarikat itu mengumumkan perkara terbabit selepas lebih dua tahun menamatkan penjualan produk itu di Amerika Syarikat yang mengundang ribuan saman berhubung keselamatan pengguna.

“Sebagai sebahagian daripada penilaian portfolio di seluruh dunia, kami membuat keputusan komersial untuk beralih kepada pengeluaran bedak bayi berasaskan tepung jagung.



“Bedak bayi berasaskan tepung jagung sudah dijual di negara-negara di seluruh dunia,” katanya.

Pada 2020, Johnson & Johnson mengumumkan pihaknya akan menghentikan penjualan bedak bayi talkum di AS dan Kanada kerana permintaan menurun berikutan maklumat salah mengenai keselamatan produk ketika banyak saman mengenainya.

Syarikat itu berdepan kira-kira 38,000 saman daripada pengguna dan mereka yang terselamat mendakwa produk talkumnya menyebabkan kanser akibat pencemaran dengan asbestos, sejenis karsinogen yang diketahui.

Syarikat itu yang menafikan dakwaan itu berkata, ujian saintifik dan kelulusan kawal selia selama beberapa dekad menunjukkan talkumnya selamat dan bebas asbestos.



Semalam, ketika pengumuman terbaharu itu, syarikat itu mengulangi kenyataan sama.

Siasatan Reuters pada 2018 mendapati, syarikat itu selama beberapa dekad mengetahui bahawa asbestos dan karsinogen terdapat di dalam produk talkumnya.

Rekod dalaman syarikat, keterangan percubaan dan bukti lain menunjukkan sekurang-kurangnya sejak 1971 hingga awal 2000-an, talkum mentah dan serbuk siap syarikat itu kadangkala diuji positif untuk sejumlah kecil asbestos.

Sebagai tindak balas kepada bukti pencemaran asbestos yang dibentangkan dalam laporan media di bilik mahkamah dan di Capitol Hill, J&J berulang kali mengatakan produk talkumnya selamat dan tidak menyebabkan kanser.



Dijual sejak 1894, Bedak Bayi Johnson menjadi simbol imej mesra keluarga syarikat.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button