Kedudukan, populariti padam nawaitu sambung belajar

Anak muda kini mempunyai corak pemikiran ke arah menempa nama dan mengejar kedudukan berbanding memilih melanjutkan pengajian.

Oleh Azrin Muhammad

Keghairahan menempa nama dan mempunyai kedudukan dalam kalangan masyarakat menjadikan kebanyakan belia di negara kita tidak berminat untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi.

 

Penulis berpandangan faktor terbesar berhubung isu ini adalah perkembangan sosial media diikuti rantaian peristiwa dua ke tiga tahun kebelakangan ini yang secara tidak langsung mengubah corak pemikiran anak muda kita.



 

Ayat cliche yang kita sering kita dengar antaranya mampu memiliki kereta mewah, rumah besar dan jumlah pendapatan mencecah hingga enam angka tanpa perlu menjejakkan kaki ke menara gading.

 

Tidak hairan jika kita terdengar ada banyak pihak yang ‘kantoi’ memiliki sijil palsu bukan sahaja dalam kalangan masyarakat biasa, malah melibatkan menteri dan VIP yang mahu menggunakan kedudukan sebagai batu loncatan meraih keuntungan.

 

Baru-baru ini satu pendedahan telah dibuat media tempatan mengenai isu ini dan laporan berkenaan membuktikan 72 peratus anak muda tidak berminat melanjutkan pengajian selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

Tempoh paling kritikal adalah ketika COVID-19 melanda dunia, peranan sosial media menjadi sangat penting bagi menghubungkan kita dengan dunia luar termasuk menjana pendapatan.



 

Kebergantungan dengan sosial media dan teknologi maya terus berlaku dalam kalangan anak muda dan menjadi kebiasaan sehingga saat ini. Persoalannya sampai bila?

 

Hal yang sama pernah dibincangkan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dengan kenyataan ramai mengambil peluang berniaga dalam talian atau muncul sebagai pempengaruh dengan pelbagai ‘content’.

 

Namun apa yang membezakan golongan ini dengan mereka yang melanjutkan pelajaran adalah ilmu pengetahuan dan nilai yang diketengahkan kepada umum. Pertimbangan berasaskan ilmu pengetahuan yang tinggi akan sedikit sebanyak menjadi cabaran kepada kelompok pempengaruh media sosial ini.

 

Tidak dinafikan memang boleh mencari rezeki tanpa sambung belajar tetapi jaminan untuk lebih berjaya lebih tinggi sekiranya kita melanjutkan pengajian kerana pendidikan tinggi dapat menjadikan seseorang itu berupaya membuat keputusan lebih baik untuk masa hadapan.

 

Kekurangan dalam hidup tidak sewajarnya dijadikan alasan dan halangan untuk tidak sambung belajar kerana kerajaan menerusi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah menyediakan pelbagai jenis bantuan.

 

Selain itu, interaksi yang boleh dilakukan ketika menuntut di universiti juga merupakan satu perkara positif apabila dapat melatih anak muda kita untuk berhadapan secara fizikal dengan masyarakat yang pelbagai kerenah.

 

Minda yang lemah tidak akan menjamin masa hadapan kita, cabaran sedia ada sepatutnya sudah menyedarkan kita untuk mempersiapkan diri agar fizikal dengan mental kita mampu meredah ujian masa akan datang.

 

Tidak adil jika kita menuding jari ke arah pihak lain, lebih elok kita muhasabah diri untuk melihat apakah punca bagi masalah ini. Tepuk dada dan tanya diri kita apa yang boleh disumbangkan bagi mengubah keadaan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker