KPDNHEP Selangor rampas diesel bersubsidi lebih RM500,000

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menerima empat kes serahan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan sindiket penyelewengan diesel subsidi dengan nilai keseluruhan RM507,142.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Mohd Khairi Jamaludin berkata, empat kes serahan itu disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) membabitkan tiga kes pada 9 Ogos lalu dan satu kes semalam.

“Menerusi kerjasama strategik dengan PDRM, empat kes disyaki melakukan aktiviti penyelewengan barang kawalan subsidi bahan api diesel dilumpuhkan di lokasi berasingan iaitu Semenyih, Kota Damansara, Kapar dan Puchong.

“Kebanyakan kes penyelewengan terbabit dengan mendapatkan bekalan diesel daripada stesen minyak yang berdekatan.



“KPDNHEP Selangor akan menjalankan siasatan terperinci dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana stesen minyak yang bersubahat dengan sindiket-sindiket terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata, daripada empat kes terbabit, seramai 15 individu ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“KPDNHEP Selangor akan meneruskan siasatan lanjut ke atas keempat-empat kes terbabit untuk mengenal pasti individu atau mana-mana pihak yang terbabit secara langsung di dalam aktiviti bersindiket ini.

“Menerusi operasi itu juga, sebanyak 26,500 liter diesel subsidi berjaya disita membabitkan sembilan lori.



“Secara keseluruhan, nilai rampasan dianggarkan RM507,142 bagi empat kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 20 (1), Subseksyen7(4) , Seksyen 21 dan Peraturan 12A di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDNHEP akan bertindak tegas serta tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna.” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker