Musim pilih logo, bendera kembali lagi

Isu pertikaian mengenai logo dan bendera sudah menjadi kebiasaan bagi parti-parti di bawah naungan Pakatan Harapan setiap kali menjelang pilihan raya.

Oleh Segenggam

Setiap kali pilihan raya, tidak ada perkara lain yang akan dibincangkan dua pihak belah sana selain daripada logo dan bendera. Dalam benak fikiran mereka, logo atau bendera boleh menutup perangai hodoh dan mengaburi mata pengundi.

 

DAP kini masih lagi gelojoh berusaha mempertikaikan tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang setakat ini masih belum memutuskan logo atau bendera apa yang mereka mahu gunakan dalam pilihan raya umum akan datang.

 

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung bulan lalu juga masih menemui jalan buntu apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mampu membuat keputusan.

 

Tindakan yang dilihat sengaja dilengah-lengahkan itu membuatkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng panas punggung dan mahu keputusan itu segera dibuat dalam mesyuarat akan datang yang dijadualkan berlangsung pada 15 dan 16 Ogos ini.

 

Mana tidaknya, Guan Eng sendiri tahu bendera Harapan itu boleh digunakannya untuk mendapatkan undi orang Melayu dan sebaliknya boleh berlaku sekiranya mereka menggunakan bendera DAP.

 

Dalam masa sama, PKR juga sudah pasti mahu menggunakan logo dan benderanya sendiri sebagai ‘tuah’ sepertimana yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

 

Geli hati dibuatnya melihat gelagat dua parti ini berhubung isu logo dan bendera kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung di Melaka dan Johor tidak lama dahulu juga membawa berita sedih meskipun menggunakan bendera yang mereka mahu.

 

Berbalik ke dunia nyata, jika isu logo dan bendera mereka perlukan masa yang lama untuk membuat keputusan apatah lagi isu melibatkan negara. Jangan esok lusa kita tepuk dahi kerana salah memilih.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker