Stok minyak masak ada 60,000kg tapi rekod tulis 5,000kg

SEREMBAN: Sebuah kilang pembungkus minyak masak polibeg bersubsidi di Kawasan Industri Sinar Andalas di sini dikesan menyimpan 60,000 kilogram (kg) bahan itu, tetapi dalam buku penyata syarikat hanya menyatakan stok 5,000kg.

Susulan itu, Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menerusi OPS ATM (Ayam, Telur, Minyak Masak ) dan OPS Anti-Sorok menyerbu kilang berkenaan jam 11 malam tadi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd Muis Samsudin, berkata ketika serbuan pihaknya mendapati sebuah lori tangki berada di lokasi.

“Ia mengandungi kira-kira 30,000kg minyak masak dan sedang menunggu untuk dipindahkan ke tangki simpanan di premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut di premis berkenaan juga mendapati terdapat stok simpanan minyak masak sebanyak 30,000kg dalam tangki di premis itu.

“Namun, semakan terhadap buku penyata stok bekalan minyak masak dilakukan, jumlah baki dalam simpanan yang dinyatakan hanya sebanyak 5,350kg,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syarikat terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu gagal menyelenggara buku penyata stok barang kawalan bersubsidi serta memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual melebihi had kuantiti yang dibenarkan dalam lesen.

“Siasatan menyeluruh juga akan dilakukan untuk mengesan sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam rantaian pengedaran minyak masak polibeg 1kg syarikat ini.

“Hasil serbuan ini, dianggarkan sebanyak 60,000kg minyak masak disita untuk tujuan siasatan dengan nilai rampasan berjumlah RM 150,000.

“Turut disita sebuah lori tangki yang berada di tempat kejadian. Anggaran jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini adalah RM 400,000,” katanya.

Abd Muis berkata, kejayaan kes ini adalah hasil pemantauan dan risikan yang dijalankan pihaknya di bawah OPS ATM dan OPS Anti-Sorok untuk membanteras aktiviti penyelewengan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan bekalan minyak masak 1kg di Negeri Sembilan dinikmati oleh golongan sasaran.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker