Tiga sahabat lakukan rompakan berkumpulan terlepas hukuman

KUCHING: Tiga sahabat menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan di sebuah hotel di Batu Kawa, dua tahun lalu.
Hakim Mohd Taufik Mohd Yusuf membuat keputusan terbabit terhadap Filim Lawan, 37, Mathew Ismail, 27, dan Herry Samwel, 20, selepas pengadu menarik balik laporan semasa perbicaraan.
Semasa memberi keterangan di mahkamah, pengadu yang merupakan seorang wanita tiba-tiba menarik diri daripada memberi keterangan lanjut dan menyatakan bahawa menarik balik laporannya.
Selepas mendengar penghujahan daripada Peguam Bela Voon Lee Shan dan Alex Kong yang mewakili kesemua tertuduh, mahkamah memutuskan melepas dan membebaskan tertuduh selepas Hakim Mohd Taufik menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohammad Ali untuk melepas tanpa membebaskan mereka.
Ini kerana, mahkamah mendapati ia tidak mencukupi untuk dipertimbangkan sebagai alasan yang kukuh untuk memerintahkan lepas tanpa membebaskan tertuduh.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Sekyen 397 Kanun yang sama, kerana melakukan rompakan berkumpulan di sebuah hotel.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa telah merompak sejumlah wang RM450 milik hotel terbabit di Batu Kawa, di sini, sekitar jam 12.08 tengah malam, 11 November 2020.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Suara Sarawak

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker