Zaid Ibrahim nafi firma guaman tarik diri wakili Najib Isnin ini

KUALA LUMPUR: Firma Guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners, yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, menafikan dakwaan akan menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu, jika Mahkamah Persekutuan akan terus mendengar rayuan kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, Isnin ini.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, dalam kenyataannya, berkata firma beliau tidak akan meninggalkan anak guamnya .

Katanya, firma guamannya bersetuju mengambil kes itu kerana Najib mempunyai rungutan yang sah berhubung sabitannya, khususnya mengenai perkara berkaitan dengan kedaulatan undang-undang dan undang-undang yang berkaitan dengan berat sebelah dan konflik kepentingan.

“Sebagai peguam, adalah menjadi tugas kami untuk mewakili kes anak guam dengan sebaiknya.



“Jangkaan sah Najib adalah beliau akan mendapat perbicaraan penuh dan adil di Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, tugas kami sebagai peguam bela adalah untuk membolehkan proses itu,” katanya.

Bagaimanapun, dalam berbuat demikian, beliau kesal serangan keji yang dilemparkan kepadanya secara peribadi dan firma guamannya.

Beliau merujuk kepada sindiran Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin, yang menyatakan peguam mengambil kes di saat-saat akhirnya adalah bermotifkan wang.

Katanya, satu lagi kritikan yang dilemparkan terhadap Najib dan firma guaman beliau adalah pelantikan itu satu cubaan untuk melengahkan rayuan.



“Jawapan kepada perkara itu adalah saya menyuruh pengkritik untuk membandingkan kes ini dengan kes berprofil tinggi yang lain.

“Tidak dapat dinafikan bahawa kes ini mengambil masa yang kurang untuk sampai ke tahap ini. Pengkritik yang angkuh akan tahu kes siapa yang saya maksudkan,” katanya.

Tambahnya, ini adalah kali pertama Najib menukar pasukan pembelaan.

Pada 26 Julai lalu, NajibΒ memberhentikan khidmat peguam Tan Sri Muhammad Shafee AbdullahΒ dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co daripada mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Bekas perdana menteri itu memberhentikan Tetuan Shafee & Co yang mewakilinya dalam kes SRC International sejak 4 Julai 2018 dan melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu,Β Hisyam Teh Poh TeikΒ sebagai peguam utama serta Liew Teck Huat dan Rueben Mathiaravanam sebagai peguam bersama.

Zaid berkata, beliau percaya bahawa firmanya membawa perspektif baharu kepada kes itu.

“Kami memberikan fokus kepada prinsip perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip keadilan semula jadi dan isu undang-undang dan fakta spesifik dalam permohonan untuk perbicaraan semula.

“Kami bersedia untuk meneruskan dengan usul perbicaraan semula pada prosiding Isnin ini,” katanya.

Beliau berkata, sebagai peguam, mereka mempunyai tanggungjawab kepada keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Kami akan terus bertindak bagi pihak beliau selagi kami masih memegang keyakinannya,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker