Pemain badminton dapat durian runtuh RM245,000

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberikan insentif keseluruhan berjumlah RM245,000 bagi menghargai pemain yang meraih pingat di Sukan SEA Vietnam dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pasukan yang meraih pingat emas dalam acara berpasukan campuran di Birmingham meraih jumlah insentif terbesar iaitu RM140,000 manakala Pearly Tan-M Thinaah yang memenangi acara beregu wanita menerima habuan RM50,000.

Pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong yang meraih perak di Birmingham menerima RM10,000 manakala beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih gangsa bersama Tan Kian Meng-Lai Pei Jing masing-masing menerima RM7,500.

Sementara itu, pasangan emas di Sukan SEA Vietnam dalam acara beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei meraih RM30,000 selepas menewaskan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 15-21, 21-19, 21-13 di pentas final.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata insentif itu adalah antara usaha pihaknya menghargai keringat pemain.

“Kami mahu meraikan kejayaan yang diraih di Hanoi dan Birmingham. Di Hanoi, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei meraih gelaran terbesar mereka dengan meraih emas selepas menewaskan rakan senegara.

“Di Birmingham, saya gembira pasukan negara yang disertai gabungan pemain berpengalaman dan muda berjaya meraih semula emas dalam acara berpasukan campuran.

“BAM menghargai usaha gigih dan pengorbanan dilakukan pasukan. Pemain sudah meletakkan usaha terbaik mereka untuk membanggakan negara dan mengibarkan Jalur Gemilang,” kata Norza Zakaria dalam sidang media selepas majlis penyerahan insentif dan Mesyuarat Ahli Lembaga BAM, hari ini.

Untuk rekod, sukan badminton sudah menyumbang 69 pingat secara keseluruhan di Sukan Komanwel, iaitu 31 emas, 22 perak dan enam gangsa.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker