Tawaran baharu lebih segar, pikat pengundi

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ketika berucap pada majlis Pembukaan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

Rohana Man

KUALA LUMPUR – Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr.Noraini Ahmad menegaskan dalam usaha BN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, BN memerlukan tawaran baharu untuk memikat hati rakyat.

 

Menurutnya, dalam kita membicarakan mengenai perubahan, sudah tentu kita memerlukan satu tawaran baharu yang mampu memberikan satu harapan kepada rakyat terhadap BN.

 

Katanya, atas faktor itulah, kita berhimpun hari ini untuk memberi pendapat dan mendengar pandangan agar kita mampu bersedia untuk menghadapi peperangan besar dalam arena politik negara iaitu PRU-15 yang bakal mendatang.

 

“PRU-15, boleh kita katakan sebagai mandat baharu rakyat, akan diterjemahkan pada bila-bila masa mulai hari ini. Jadi, kita jangan leka kerana gendang perang telah lama dipalu,”katanya dalam ucapan Pembukaan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.

 

Konvensyen Wanita BN turut dihadiri pemimpin utama parti komponen BN termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Zainon Kayum, Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy dan Ketua Wanita MCA Kebangsaan, Datuk Heng Seai Kie.

 

Mengulas lanjut, Noraini berkata, tawaran-tawaran itu mestilah yang lebih segar dan bersesuaian dengan situasi semasa hari ini.

 

“Konvensyen kita pada hari ini sangat penting untuk kita menyemak, meneliti dan memfokus kepada isu-isu utama rakyat.

 

Kita telah gerakkan dengan Pra Konvensyen Wanita di setiap negeri sejak Julai lalu,”katanya.

 

Noraini menambah, dalam siri-siri maraton Pra Konvensyen Wanita BN, kita telah memberi penekanan kepada tujuh segmen meliputi pemerkasaan pendidikan wanita, transformasi pengajian tinggi, pembangunan mapan ekonomi wanita, pembelaan agama dan kebajikan, pengukuhan wanita dalam pentadbiran, keutamaan keselamatan sosial wanita dan daya saing wanita dalam teknologi maklumat (IT) dan teknologi.

 

Tambahnya, resolusi-resolusi tersebut akan dibentangkan wakil-wakil negeri dalam konvensyen ini sebelum dirumuskan dan diserahkan kepada YB Datuk Seri Presiden untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada manifesto atau Aku Janji Barisan Nasional menghadapi PRU-15 nanti.

 

“Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan yang sentiasa bersama-sama dengan kita sejak dari awal bengkel pra konvensyen diadakan. Terima kasih Tok Mat,”ujarnya.

 

Sebelum mengakhiri ucapan, Noraini menyeru Wanita BN supaya bersedia mengorak langkah dan menjadi tulang belakang yang mampu memberi kekuatan kepada perjuangan BN.

 

“Untuk terus relevan di hati rakyat, kita mesti sepakat, sepadu, sehati, sejiwa dan setia dalam perjuangan menghadapi peperangan PRU-15 nanti.

 

“Saya berharap Konvensyen Wanita Barisan Nasional ini mampu menjadi satu titik kebangkitan yang boleh membantu kemenangan Barisan Nasional dalam PRU-15 nanti,”tambahnya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker