Tottenham berpeluang pintas Arsenal Sabtu ini

LONDON: Stadium Emirates di sini, akan menjadi venue bagi pertembungan tetangga London Utara pertama dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini apabila Arsenal melayan kunjungan Tottenham Hotspur pada Sabtu ini.

Tottenham kendalian Antonio Conte bertandang ke Emirates dengan misi memintas pendahulu liga itu yang hanya satu mata di atas mereka.

Bagaimanapun statistik tidak menyebelahi Spurs yang tidak pernah mencatat kemenangan di Emirates dalam saingan EPL sejak tahun 2010, yang mana Younes Kaboul melengkapkan kebangkitan mereka daripada ketinggalan 2-0 kepada kemenangan 3-2.

Perlawanan awal di Emirates memberikan kedua-dua pasukan peluang untuk melebarkan jurang di puncak liga sebelum Manchester City, yang berada di tangga kedua – juga kurang satu mata di belakang Arsenal – bertemu Manchester United pada Ahad.

Namun perlawanan awal turut mempunyai aspek negatif, terutama selepas rehat perlawanan antarabangsa.

Conte dan Mikel Arteta pasti runsing memikirkan tahap kecergasan pemain masing-masing yang tidak bersama mereka sejak lebih seminggu lalu kerana tugasan bersama skuad kebangsaan.

Cristian Romero dan Davinson Sanchez hanya akan kembali bersama Spurs hari ini selepas tugasan antarabangsa pada Rabu di Amerika Selatan.

Son Heung-min berada di Korea Selatan untuk aksi persahabatan Selasa lalu, dengan Richarlison dan Rodrigo Bentancur beraksi untuk Brazil dan Uruguay di benua pada hari yang sama dan tidak perlu mengembara jauh untuk pulang ke London.

Ryan Sessegnon, Oliver Skipp, Djed Spence, Dejan Kulusevski dan Matt Doherty mempunyai perlawanan pada Selasa di Eropah. Masing-masing dilihat tidak mempunyai masalah kecederaan selepas perlawanan berakhir.

Selain masalah perjalanan jauh terpaksa diharungi Romero dan Sanchez, ialah kecederaan beberapa pemain lain.Kapten dan penjaga gol Spurs, Hugo Lloris menarik diri daripada tugasan antarabangsa bersama Perancis akibat kecederaan paha.

Ben Davies pula terlepas aksi bersama Wales akibat keceraan lutut. Conte yakin Davies akan sempat pulih, namun ia bergantung sama ada pengendali itu mahu mengambil risiko, terutama selepas Clement Lenglet beraksi cemerlang di benteng Spurs.

“Dia cedera di bahagian lutut ketika aksi menentang Sporting Lisbon, dan dia bermain dengan kecederaan itu. Bukan kecederaan serius, saya rasa, selepas rehat antarabangsa kerana, dengan pasukan kebangsaan, dia tidak beraksi.

“Tetapi selepas rehat antarabangsa, saya rasa dia akan kembali dapat beraksi bersama kami,” kata Conte.

– AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker