Ditangguh sehingga siasatan terhadap Hakim selesai

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak memohon rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya, ditangguh sehingga siasatan terhadap Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali selesai.

Mohd Nazlan adalah hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dana SRC International, dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang berhujah dalam permohonan notis usul bagi memasukkan bukti tambahan berkaitan Mohd Nazlan dalam rayuan akhir kes SRC berkata, prosiding itu wajar ditangguhkan kerana bukti tambahan jelas menunjukkan wujud konflik kepentingan.



Katanya, adalah wajar siasatan terhadap Mohd Nazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan selesai dijalankan sebelum rayuan akhir didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Hisyam berkata, wujud bahaya nyata wujudnya berat sebelah dalam kes itu kerana konflik kepentingan berhubung peranan Mohd Nazlan.

“Mahkamah Persekutuan boleh meminta rekod siasatan dan melihat sendiri keterangan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

“Seperti yang dijelaskan dalam afidavit pemohon (Najib), keterangan tambahan ini mengandungi bukti material yang menunjukkan konflik kepentingan dan berat sebelah membabitkan hakim yang mendengar perbicaraan kes ini (Mohd Nazlan).



“Oleh itu, kami memohon ini (memasukkan bukti tambahan) dibenarkan dan mana-mana perintah yang difikirkan sesuai serta wajar oleh mahkamah ini,” katanya.

Najib memohon memasukkan dalam rayuan akhirnya antaranya keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussein berhubung siasatan skandal SRC International.

Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank berhubung khidmat nasihat strategik yang diberikan oleh Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC International pada 2010/2011.

Ia juga berkaitan pinjaman RM140 juta yang diberikan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development Berhad (anak syarikat SRC) pada tahun 2014 , iaitu sumber RM42 juta yang menjadi perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib.



Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berhubung peranannya ketika menjadi CEO 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan khidmat nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada 2010/2011.

Notis usul memasukkan bukti tambahan itu berbangkit daripada permohonan Najib supaya Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd batal dan tidak sah.

Beliau juga memohon mahkamah menimbangkan supaya diadakan perbicaraan semula.

Prosiding bersambung petang ini dengan hujahan balas pendakwaan.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button