Indonesia beri pengajaran berguna buat skuad hoki negara
KUALA LUMPUR: Pasukan hoki dalam dewan wanita negara mahu melupakan detik kekalahan di tangan Indonesia pada aksi separuh akhir Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2022 bagi memburu penamat terbaik dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Skuad kendalian Mohd Rodhanizam Mat Radzi dijadual bertemu Kazakhstan dalam aksi penentuan di Stadium Huamark, Bangkok, Thailand dan kekalahan 0-1 di tangan Indonesia semalam menjadi pengajaran berguna buat pasukan.
“Kita akan menganalisa perlawanan untuk persediaan ke perlawanan tempat ketiga dan keempat menentang Kazakhstan.
“Saya percaya pemain dan pasukan dapat bangkit daripada kekalahan ini (di tangan Indonesia) untuk memberikan yang terbaik dan memberikan keputusan positif pada perlawanan terakhir kita nanti.
“Kita terlepas untuk ke perlawanan akhir. Kita mesti menang pada perlawanan tempat ketiga dan keempat. Ini adalah satu pengajaran berguna untuk pasukan kita. Doa dan sokongan penyokong amat dihargai,” kata Rodhanizam.
Malaysia terlepas peluang untuk ke pentas akhir apabila tewas 0-1 di tangan Indonesia namun bagi Rodhanizam, pemain sudah melakukan yang terbaik.
“Untuk perlawanan bertemu Indonesia, pemain bermain dengan baik pada permulaan. Cuma ada beberapa ketika kita memberikan pasukan Indonesia peluang untuk bermain.
“Kita mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, tetapi pemain tidak mengambil peluang yang ada. Kita mendapat beberapa PC (pukulan sudut penalti), tetapi tidak dimanfaatkan dengan baik.
“Kita juga mendapat penalti stroke, tetapi tidak dapat disempurnakan. Peluang kita ada, cuma tidak dapat mengambil peluang yang ada sebaiknya. Banyak kesilapan mudah dilakukan pemain.
“Apapun, saya berbangga dengan pemain kerana memberikan yang terbaik untuk perlawanan sehingga saingan tamat,” katanya.
BHOnline