Kane selamatkan Spurs

LONDON: Harry Kane meledak gol penyamaan pada minit ke-96 untuk keputusan seri 2-2 buat Tottenham dalam pertembungan tetangga London menentang Chelsea awal pagi tadi.

Kedua-dua pengurus, Antonio Conte dan Thomas Tuchel dibuang padang selepas wisel penamat berikutan berlaku pertengkaran.

Chelsea tampak akan memulakan era baharu di Stamford Bridge dengan baik apabila dua kali mendahului menerusi Kalidou Koulibaly dan Reece James.

Tottenham jauh daripada tahap diperlukan jika mahu mencabar Manchester City dan Liverpool merebut gelaran tetapi menemui karektor tersendiri diterapkan Conte untuk bangkit mendapatkan satu mata.

Pengendali dari Itali itu dan Tuchel kedua-duanya dilayangkan kad kuning selepas gol penyamaan pertama Pierre-Emile Hojbjerg.

Kemarahan kembali memuncak ketika mereka bersalaman selepas Kane meledak pada saat akhir perlawanan.

“Ia adalah Liga Perdana dan kerana itu kita menyukainya. Ia jurulatih yang emosional di tepi padang,” kata Tuchel.

“Saya rasa ia (kad merah) sebenarnya tidak perlu. Tapi banyak perkara tidak perlu hari ini, jadi ia satu lagi keputusan yang buruk daripada pengadil.”

Tottenham hanya menang sekali di Stamford Bridge sepanjang 32 tahun dalam liga, namun Conte gembira berjaya mengelak kekecewaan berdepan kelab lamanya.

“Ada perbezaan antara Chelsea dan Tottenham tetapi kami di sini untuk mengurangkan jurang ini,” kata pengendali Itali itu. “Musim lalu kami tewas tiga kali, kali ini kami seri, jadi ia satu peningkatan.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker