Najib dibenar pinda notis usul permohonan masukkan bukti tambahan



PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan membenarkan Datuk Seri Najib Razak meminda notis usul dalam permohonannya bagi memasukkan bukti tambahan berhubung keterangan beberapa individu ke dalam rayuan akhir penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Antaranya ialah keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rosli Hussein, berhubung siasatan skandal SRC International.

Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan hakim perbicaraan kes SRC, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Maybank Group.

Antaranya berhubung perkhidmatan nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC pada 2010/2011.



Ia juga berkaitan pemberian pinjaman RM4.7 bilion Maybank kepada 1MDB bagi perolehan Tanjong Energy Berhad pada 2012.

Bukti tambahan lain ialah keterangan lisan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Malaysia Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, berhubung peranannya ketika menjadi CEO 1MDB dalam urusan dan pelantikan Maybank Investment Berhad dan Bina Fikir Sdn Bhd serta pegawainya berkaitan perkhidmatan nasihat strategik dalam penubuhan SRC International pada tahun 2010/2011.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan berkata, mahkamah belum membuat keputusan berhubung merit substantif pada peringkat ini.

Sehubungan itu, Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Najib mengemukakan hujahan permohonan notis usul berkenaan sebelum Mahkamah Persekutuan memberikan keputusan.



BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker