Tugas Haaland paling sukar
MANCHESTER: Pep Guardiola berkata Erling Haaland mempunyai tugas paling sukar di dunia selepas penyerang baharu Manchester City itu hanya menyentuh bola sebanyak lapan kali pada penampilan pertama di laman sendiri.
Penyerang Norway itu melakukan umpanan gol pada penampilan pertamanya untuk City di Stadium Etihad ketika kemenangan 4-0 ke atas Bournemouth – gol pembukaan jaringan Ilkay Gundogan, tetapi hanya disusuli dengan satu lagi hantaran – itupun daripada sepak mula.
Bournemouth bermain dengan formasi 5-4-1, dan dua pemain tengah turut membantu menjaga Haaland.
“Tugas paling sukar di dunia ialah apabila anda seorang penyerang dan pertahanan bertahan seperti Bournemouth, mereka mempunyai tiga bek tengah dan dua pemain di hadapan serta yang lain-lain di tengah.
“Bagaimana mahu melepaskan diri dalam keadaan sebegitu? Ia amat sukar. Tetapi dengan kualiti pemain di belakangnya, kami akan dapat mencarinya. Saya yakin,” kata Guardiola.
Kevin de Bruyne meledak gol kedua City dan mengumpan bola kepada Phil Foden untuk gol ketiga.
Guardiola yakin De Bruyne semakin selesa dengan peranannya selepas mengharungi musim paling prolifik dalam kariernya tahun lalu.
“Kevin sebelum musim lalu hanya membantu, membantu dan sekarang dia mula menikmati menjaringkan gol.
“Ia penting buat kami untuk tidak hanya Julian (Alvarez) dan Erling menjaringkan gol,” katanya.
AGENSI