Banyaknya sampah di Port Dickson

Port Dickson: Sikap pengotor pengunjung pantai peranginan di sini, terserlah apabila sebanyak 616 puntung rokok, 13.72 kilogram bekas minuman plastik dan hampir 70 kilogram tin minuman aluminium, bekas makanan plastik, pembungkus plastik dan mainan kanak-kanak dibuang merata tempat.

Semua sampah berkenaan yang mencemarkan keindahan pusat peranginan ini dikutip hasil kerjasama dua syarikat, KSK Land dan SWM Environment Sdn Bhd (SWMEnvironment) yang melaksanakan program pembersihan dan pengasingan sisa pantai di persisiran Port Dickson di sini, semalam.

Pengarah Urusan KSK Land, Joanne Kua berkata, program ini disertai seramai 30 orang sukarelawan daripada kedua-dua syarikat bagi memastikan keindahan pantai Port Dickson terpelihara.

Menurutnya, orang ramai tidak menyedari kesan sisa sampah yang tidak diuruskan dengan baik terutama bahan plastik yang sengaja dibuang sesuka hati.

“Kotoran ini secara tidak langsung memberi ancaman kepada hidupan laut sekiranya di bawa arus semasa air pasang. Sisa plastik yang terurai di dalam laut boleh bertukar menjadi mikroplastik.

“Mikroplastik adalah plastik yang mengalami proses pereputan sehingga menjadi partikel halus bersaiz kurang dari 5 milimeter. Aktiviti pembersihan pantai dilaksanakan ini dapat membantu menyelamatkan hidupan marin daripada dicemari dengan sisa plastik selain memastikan kawasan pantai sentiasa dalam keadaan bersih,” katanya.

Joanne berkata, pihaknya berbesar hati atas peluang untuk bekerjasama dengan SWM Environment bagi menjayakan program pembersihan pantai ini.

“Kami berharap inisiatif ini menjadi contoh kepada orang ramai untuk memainkan peranan memelihara keindahan alam sekitar daripada pencemaran plastik,” katanya.

Tambahnya, pengunjung yang datang berkunjung ke pantai diminta memberikan kerjasama untuk menggunakan tong sampah bagi melupuskan sisa yang dijana ketika berkunjung di pantai.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker