BN belum terima Parti Bangsa Malaysia

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) masih memperhalusi permohonan beberapa parti, termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menjadi komponennya.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata permohonan itu akan diteliti oleh urus setia sebelum pengumuman mengenainya dibuat.

Ketika ditanya mengenai keputusan sama ada permohonan PBM ingin menyertai BN diterima, Zambry bagaimanapun hanya berkata, keputusannya akan diumumkan nanti.

“Permohonan diterima membabitkan lebih daripada satu parti. Mesyuarat membincangkan permohonan beberapa buah parti untuk menjadi komponen BN.



“Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti itu atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN.

“Semua permohonan itu sedang diperhalusi oleh pihak urusetia BN,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN, di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Tan Sri S Vigneswaran; Tan Sri Joseph Kurup dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri.



Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, sebanyak enam buah parti sudah memohon masuk BN.

Mengenai dakwaan UMNO dan BN Ampang menolak kemasukan Parti PBM ke BN, Zambry berkata, perkara itu tidak dibincangkan secara terperinci.

“Itu tidak bincanglah benda terperinci begitu sebab dasar parti kita hanya membincangkan perkara rasmi,” katanya.

Pada masa sama, Zambry berkata, Dewan Tertinggi juga bersetuju mewujudkan Puteri BN bagi menyelaras pergerakan wanita muda di semua parti komponen.

Katanya, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dilantik sebagai Ketua Puteri BN.

Zambry berkata, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di semua peringkat dan komponen BN.

“Dewan Tertinggi berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan yang sedang dijalankan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, Dewan Tertinggi juga mengesahkan sambungan pelantikan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Hussein bagi tempoh dua tahun lagi selaras dengan Perlembagaan BN.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker