Jual ikan pekasam konon

Alor Setar: Dua kotak polistrin dan sebuah beg plastik berzip tertera perkataan “pekasam ikan” yang ditemui bersama dua lelaki di Shahab Mergong, di sini malam tadi rupanya mengandungi daun ketum untuk dijual.

Helah dua lelaki itu kononnya menjual ikan pekasam terbongkar selepas sepasukan pegawai polis dari Balai Polis Alor Setar yang diketuai Inspektor Rozilan Mat Yusoff melakukan serbuan, 10.45 malam tadi.

Serbuan dilakukan berdasarkan maklumat yang diperolehi dan perbuatan mencurigakan dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun yang kononnya penjual ikan pekasam.

Mereka disyaki menjual daun ketum itu di kawasan berkenaan kepada pelanggan tertentu bagi mengelak dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dua kotak polistrin dan bekas plastik itu mengandungi 290 bungkusan plastik mengandungi daun disyaki ketum.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati jumlah keseluruhan daun ketum itu dianggarkan seberat 58 kilogram (kg).

“Berikutan itu mereka ditahan untuk membantu siasatan dan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk tindakan lanjut bersama daun ketum yang dirampas.

“Siasatan masih dilakukan untuk mengetahui lebih lanjut pembabitan mereka dalam kegiatan itu,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker