PBM mahu berunding sertai BN

KUALA LUMPUR: Pimpinan tertinggi Parti Bangsa Malaysia (PBM) bersedia untuk berunding dengan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) jika terdapat sebarang isu atau perkara yang perlu dijelaskan sebelum keputusan dibuat.

Setiausaha Agung PBM, Nor Hizwan Ahmad menegaskan permohonan PBM untuk menyertai BN adalah demi kestabilan dan keharmonian politik Malaysia.

“Kami percaya, perubahan positif hanya akan dicapai jika negara ini ditadbir oleh gabungan parti politik yang kukuh dan berupaya untuk memperjuangkan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.



“PBM ingin menyampaikan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Dewan Tertinggi BN di atas kesungguhan mereka dalam membincangkan perkara ini (permohonan PBM menyertai BN),” katanya dalam kenyataan hari ini.

BH malam tadi melaporkan, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan gabungan parti itu masih memperhalusi permohonan beberapa parti, termasuk PBM untuk menjadi komponennya.

Zambry menjelaskan, permohonan itu akan diteliti oleh urus setia sebelum pengumuman lanjut mengenal hal itu dibuat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.



Mengulas lanjut Nor Hizwan berkata PBM masih optimis dengan tindakan BN yang mungkin memerlukan masa dan pertimbangan demi mencapai kata sepakat mengenai hasrat PBM.

“PBM menerima maklum mengenai keputusan Dewan Tertinggi BN mengenai penangguhan keputusan bagi PBM untuk menyertai BN sebagai salah sebuah parti komponen.

“Sebagai sebuah gabungan parti paling lama di Malaysia, sudah tentu BN perlu membuat keputusan dengan memberikan pertimbangan terhadap pelbagai perkara sebelum mencapai konsensus untuk menerima kemasukan baharu.

“PBM menghargai keputusan BN untuk membincangkan perkara ini dengan lebih teliti sebelum keputusan rasmi dikeluarkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button