Pegawai kanan BNS bakal berdepan tuduhan pecah amanah LCS

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai kanan syarikat pembuat kapal, Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tiba di Kompleks Mahkamah di sini, pagi ini dan dijangka berdepan pertuduhan pecah amanah membabitkan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Lelaki berusia 79 tahun yang memakai kot hitam dan berkemeja putih itu tiba kira-kira jam 8 pagi, sebelum masuk mahkamah diiringi ahli keluarga.

Beberapa pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7.45 pagi untuk merakam video serta gambar bekas pegawai kanan itu.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

Sehari sebelum itu, Jemaah Menteri meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu membabitkan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik berkata mesyuarat Jemaah Menteri yang membincangkan secara terperinci perkara itu, turut meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun membuat pendakwaan jika ada bukti kukuh serta membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kos keseluruhan RM9 bilion dan kontrak bagi projek itu bermula 2013 serta dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

PAC melalui laporannya juga mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS itu, selain mengesyorkan tujuh langkah.

Ia termasuk SPRM mengambil tindakan terhadap dapatan laporan PAC itu, Laporan Audit Forensik serta Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).Selain itu, MINDEF perlu mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek itu disiapkan dan JKSTUPKK dinyahklasifikasikan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker