Pendakwaan mohon afidavit dalam notis usul Najib ditolak

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan memohon Mahkamah Persekutuan menolak afidavit dikemukakan Datuk Seri Najib Razak melalui permohonan notis usulnya untuk memasukkan bukti tambahan berhubung Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram yang memulakan hujahan dalam prosiding hari ini, berkata kandungan afidavit berkenaan hanya tuduhan semata-mata yang bukan sahaja tidak berasas malah tidak disokong bukti kukuh.

Beliau berkata, mahkamah boleh mengarahkan afidavit itu ditolak kerana ia juga tidak mengikut peraturan undang-undang, di mana kandungannya bukan berdasarkan pengetahuan peribadi pemohon tetapi hanya bukti dengar cakap semata-mata.



“Persoalan undang-undang di sini ialah kami menyatakan bahawa kandungan afidavit ini tidak relevan sama sekali dengan rayuan akhir yang dihadapi pemohon.

“Oleh itu, mahkamah boleh mengarahkan afidavit ini ditolak dengan alasan ia tidak berkaitan dengan pertuduhan yang dihadapinya (Najib).

“Atas alasan ini sahaja, permohonan notis usul ini sepatutnya ditolak… Ia tidak mengemukakan bukti berat sebelah atau konflik kepentingan,” katanya.

Dalam permohonan notis usulnya, bekas Perdana Menteri itu memohon untuk memasukkan antaranya, keterangan viva voce (lisan) pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Hussein yang menjalankan siasatan ke atas skandal SRC.



Keterangan itu adalah sama ada beliau (Rosli) menyedari peranan lalu dan pembabitan Mohd Nazlan sebagai Kaunsel dan Setiausaha Syarikat Kumpulan Maybank, terutamanya dalam khidmat nasihat strategik yang diberikan Maybank Investment Berhad dan bahagian nasihat kewangan Maybank, Bina Fikir Sdn Bhd kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi penubuhan SRC pada tahun 2010/2011.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button