Tipu tawaran kerja menerusi aplikasi beli-belah

Kuala Lumpur: Polis menumpaskan sindiket tawaran kerja menggunakan aplikasi beli-belah dalam talian yang menyasarkan warga Indonesia, selepas menyerbu sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hasil maklumat yang mendakwa unit itu dijadikan pusat panggilan untuk sindiket penipuan.

Katanya, tangkapan dibuat masing-masing dua lelaki dan wanita tempatan serta seorang lelaki dan wanita warga Indonesia, semuanya berusia antara 20 hingga 31 tahun.



“Turut dirampas enam unit komputer riba, 12 telefon bimbit pelbagai jenama dan 10 keping kad sim telefon prabayar yang digunakan dalam kegiatan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, siasatan awal mendapati terdapat unsur-unsur penipuan dalam talian melalui penggunaan talian prabayar sebagai akses Internet dan komputer riba yang dirampas.

“Kegiatan penipuan ini dipercayai menyasarkan mangsa dari Indonesia. Kesemua suspek juga bekerja antara sebulan hingga empat bulan dan tawaran pekerjaan itu melalui laman sosial Facebook,” katanya.



Beliau berkata, suspek ditahan adalah pekerja sindiket yang menerima gaji antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan dan diberikan komisyen antara empat peratus hingga lima peratus daripada keseluruhan kutipan diperoleh dalam tempoh sebulan.

“Kumpulan ini beroperasi sejak Julai 2022 dan urusan pemberian gaji akan diuruskan oleh lelaki tempatan.

“Kesemua suspek akan ditahan bagi tindakan siasatan selanjutnya,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button